Total Pageviews

Wednesday, February 24, 2010

Tenong sambil sengih-sengih

Dudok menunggu habisnya masa bekerja adalah saat paling membosankan. Mata sudah layu, kepala sudah tersenggok-senggok menandanya betapa tenaga yang tersimpan dalam susok tuboh badan ini di tahap paling rendah. Perlu dicas secepat mungkin.

Budak-budak opis kesemuanya awal-awal lagi sudah keluar. Alasan kononnya ada tugas di tapak projek. Cis! Melarikan diri. Bukan rajin pon. Maaf, hati saya memang penoh syak wasangka kepada tahap kerajinan mereka. Usah ditanya mengapa.

Dan tiba-tiba saya mendapat panggilan talipon. Suara garau sang pemanggil tidak saya kenali. Katanya dia dari syarikat si polan polan telah menghantar satu dokumen ke emel saya. Haros bertindak segera dan mahu respon secepat mungkin. Panggilan tamat.

Aih, saya buka emel sambil mata berair. Mulut menguap besar tanda oksigen di otak tidak mencukopi. Kepala di geleng-geleng dan badan mengeliat panjang supaya mendapat kesegaran optima. Rasa macam mahu bertaichi bagi menghilangkan ngantok ini. Tapi setelah difikir-fikir...bila masa pula saya menuntot ilmu taichi ni?

Terus saja emel dibuka dan terpampang 33 mesej dalam peti masuk saya. Banyak betol! Dokumen apakah encik bersuara garau ini hantar? Lalu tanpa membuang masa, saya pon buka peti masuk.

Berderet deret emel...buka yang pertama. Dari Facebook. Sang gades manes bergetah mengomen gambar anda. Sila ikutan pautan di bawah. Saya klik. Facebook saya terpampang. Berdekah-dekah saya ketawa. Saya kena balas komen beliau. Ilham datang tanpa henti untok mengenakan balik sedas komen berapi kepada beliau.

Buka pula emel kedua. Dari Facebook. Sang Arjuna mengomen pada status anda. Sila ikutan pautan di bawah. Saya klik. Lagi saya ketawa berdekah-dekah. Ayat macam celaka. Saya kena balas komen ini, lagi sekali saya hantar komen dengan ayat pedas.

Buka pula emel ketiga. Juga dari Facebook. Perkara yang sama saya lakukan. Emel keempat juga begitu. Banyak sunggoh dari emel dari Facebook. Sehinggalah emel ke dua puloh enam.

Berbunyi 'Pop' pada Facebook saya. Alamak! Ada kawan mahu berchatting pula. Mengajak minom petang bersama. Meleser bagi melepaskan penat dan lelah setelah 8 jam memburoh. Saya setuju. Katanya pot situ ada gades pelayan cun. Saya ketawa berdekah-dekah. Perangai tak berubah padahal umur dah senja.

Tiba-tiba Bos datang melintas.

"Eh, lama benar kau downlod dokumen."
Alamak! Macam mana saya bolih terlupa.

Terus riak wajah saya bertukar serius.
Sambil jawab, "sikit lagi bos."

"POP! POP!" bunyi di paparan Facebook saya.

"Uih, Dasat bunyi download dokumen sekarang ya" kata bos. Beliau ambil fail atas meja saya sambil berlalu pergi.

Aiseh. Bos buat-buat tak tahu jek la kata hati kecil saya sambil membuat aksi taichi tanda bosan.

Friday, February 12, 2010

Tempat Keramat

Hari ini saya telah pergi ke satu tempat yang sangat menggamit nostalgia. Nostalgia dari saya kecil sehinggalah saya dewasa. Nostalgia dari saya belom akil baligh sehinggalah saya terlebih baligh. Nostalgia jatoh bangunnya saya. Dan di tempat itulah saya jumpa cinta saya.

Tidak lama dahulo tempat ini menghimpunkan seluroh warga desa dan kota dari segenap pelusok Pahang. Sewaktu saya menetap di Bentong, ayahanda saya kerap ke Kuantan bersama kawan-kawannya untok ke tempat keramat ini. Katanya tempat itu terlalu ngeri. Takot-takot saya tidak mampu mengadaptasi keadaan sekeliling dengan jiwa kerdil ini, maka ayahanda tidak bawa saya bersama. Ketika itu saya baru saja berumur 8 tahon dan hanya mengenali Mospeda dan He-Man. Olih itu, pada fikrah akal saya baeklah saya bermaen dengan kad bergambar karton kegilaan saya itu daripada melayan kerenah orang-orang tua. Itu lebih bersifat kebudak-budakan selaras dengan usia saya.

Kemudian, kami sekeluarga berpindah ke Kuantan. Waktu itu saya berumur 10 tahon. Pada waktu itulah ayahanda mengajak saya ke tempat keramat itu. Ayahanda kata sudah tiba masanya untok saya turot serta. Sudah bolih menghadapi tekanan dan dugaan. Sudah tahu baek dan burok. Saya berdebar. Saya tahu malam itu bakal mengubah perjalanan hidop saya. Detik yang tidak pernah saya terfikir langsong sebelom ini.

Adik beradik saya yang lain turot serta. Kami berempat menapak ke tempat keramat itu. Hati saya berdegop kencang. Pelbagai soalan menjelma dalam benak hotak geliga saya. Saya melihat adik dan abang-abang saya melangkah penoh berani menuju ke destinasi. Lantas mematikan segala syak wasangka yang bukan-bukan.

Setiba sahaja di tempat keramat itu, saya terpegun. Benarlah bak kata ayahanda. Sesiapa menjejakkan kaki ke tempat ini, pasti akan datang aura luar biasa. Saya benar-benar terpesona. Sepanjang malam itu, saya terpekik terlolong macam pesakit histeria.

Dengan kekuatan yang ada, saya memanggil, "Abduraimov! Abduraimov!". Beliau melemparkan senyuman dan mengangkat tangan. Saya tersengih lalu teros bercita-cita mahu menjadi pemain bola, bukan lagi Pekerja MPK bahagian sembur-sembur nyamok. Esoknya, suara saya persis Saleem. Nyanyi lagu 'Bukan ku tak sudi' sebijik macam kaset. Gila rock!

Kini 15 tahun sudah berlalu.


Sungguh sunyi sepi. Tiada lagi ragam manusia. Tiada lagi gegak gempita. Tiada lagi kekecohan itu. "Tiada lagi yang kuharapkan, tiada lagi yang ku impikan, biar aku sendiri tanpa dirimu" - muzik latar, Amy - Tiada Lagi. Wajib karaoke lagu ini.

Tempat ini punya sejarah yang unik. Dahulu penoh meriah. Dahulu penoh dengan ragam manusia. Dahulu penoh dengan gegak gempita. Ia betol-betol mengujakan saya. Tapi kini suasananya berubah.

Di sinilah tempat berkumpolnya wartawan sukan, jejaka-jejaka kacak, budak-budak sekolah, gades-gades mungil, pakcik-pakcik tak sedar diri, Hasbullah Awang, Budak PBSM angkat stretcher, budak Milo kutip bola, penjual burger seringgit dan pemain gendang dan kompang yang bersuara sumbang menyanyi - mungkin kecewa kerana tidak layak masok AF.

Dahulo tempat ini berbaris umat manusia berpusu-pusu masok. Biarpon tempat dudok macam haram. Langsung tidak empok. Tempat dudok diperbuat dari batu. Dudok atas batu, bontot rasa sejok. Namon ia tidak menghalang mereka ini semua. Bontot yang sejuk dipanaskan dengan semangat membara. Tanpa mengira warna kulit, agama, bangsa, saiz, pandangan politik, tahap IQ dan pendapatan bulanan, mereka bersatu dan berpadu-padu memberi sokongan dengan niat yang sama; ingin melihat pasukan Pahang menang.

Sekarang apa sudah jadi dengan Stadium Darulmakmur ini. Suram dan muram. Apekah patot di runtohkan sebahagian bumbungnya supaya dapat menjadi tumpuan orang ramai seperti mana stadium di Terengganu? Sekurang-kurangnya bolih menjadi salah satu simbol bangunan bersejarah. Pelancong-pelancong asing bolih datang melawat dan melihat salah satu stadium yang punya deretan kedai di sekelilingnya, yang punya enam tiang lampu dan yang punya tempat dudok penonton zaman Flinstone. Jika idea ini bernas, saya wajib menubohkan syarikat agen pelancongan secepat mungkin.

Malam minggu, lampu stadium menyala. Namon saya tidak nampak gelagat manusia. Maseh terdengar pekikan mamat fanatik bola. Eh, atau itu suara jurulatih? Saya gagal mencari jawapannya kerana saya malas nak masok ke dalam. Kereta yang parkir cuma beberapa kerat. Bolih dikira dengan jari kaki saja. Lantas saya berlalu pergi.

Esok paginya, saya melalui lagi tempat ini. Parkir stadium penoh dengan khemah. Di sisi jalan bersusun kereta berhenti. Khemah-khemah yang terpasang bertulis, 'PASAR TANI'. Pasar Tani? Saya tersenyum lalu aura itu datang kembali. Aura yang selama ini terpendam hampir 15 tahun. Aura untok berpadu-padu. Saya teruja untok bersama makcik-makcik untok membeli sayor di stadium. Ini betol-betol 'rare'!

Monday, February 8, 2010

Kental atau kenyal?

Minggu lepas berlangsungnya majlis perkahwinan abang saya. Di tengah-tengah kotaraya. Olih kerana itu, tiada gotong-royong memasak. Semuanya sedia terhidang olih pihak katering. Namon aktiviti tradisi seperti bersanding maseh ada.

"Kacak juga pengapit". Mungkin mereka sangka saya tak dengar tapi mana-mana ayat pujian yang keluar dari mana-mana mulut seorang gades manes dan bergetah pantas dikesan olih telinga ini. Tetapi anehnya, sebarang ayat nasehat yang berupa unsur-unsur kebaikan terkeluar biarpon dari Bunga Cinta Lestari, tetiba telinga saya menjadi tuli. Ini memang kelebihan saya, tolong jangan raguinya. Olih kerana ayat pujian tadi, bibir saya tersenget-senget menahan senyuman kerana perasaan bangga perlu dikawal agar muka macho terus terpampang.

Gades tersebut mengambil gambar pasangan pengantin. Mungkin sebagai bukti CSI kepada kawan-kawannya yang beliau telah berjaya datang ke majlis perkahwinan Abang saya biarpon majlis ini tak sehebat majlis perbandaran kuantan. Gades itu berlalu dan menuju ke meja santapan bersama sahabatnya tadi menyertai sepupu saya yang tengah lahap mentekedarah tanpa pedulikan suasana sekeliling.

Tepung tawar dan renjis-renjis berjalan. Keadaan menjadi hangat dan meriah. Saya turun dari pentas pelamin setelah puas mengipas raja sehari. Peloh diketiak pula sudah bertakung. Saya memerlukan air lantas saya menuju ke meja makan. Perut berkonsert metal dari tadi. Mungkin air ini patot berulamkan nasi minyak. Dengan sopan saya mencedok satu per satu lauk yang ada. Tanpa disangka, 2 pinggan juga saya bantaikan. Gades manes tadi, yang berbaju kurung merah hati dan bertudung Yuna bangun dari mejanya. Namun sempat jua dia menoleh saya disini. Lantas ketika itu berdendanglah suara karaoke dari Aris Ariwatan, "Namun sempat jua kau menoleh...ku disini" -Lamunan Terhenti.

Aih, celaka. Dari mana pula datang muzik latarbelakang ini?

Gades itu tersenyum. Saya ternganga. Cuba saya membalas senyumannya sambil mengenyit mata tetapi hati gusar. Hati berdebar. Hati kembang kecut. Takot-takot jika ayahanda dan bonda gadis tersebut ada bersama. Bolih jadi parang tercacak di kepala saya. Baru betol-betol CSI.

Tak lama kemudian, datang sepupu saya. Membisikkan sesuatu kepada saya. Lantas dia tergelak kecil. Mengade-ngade.

..............

Ketika dah waktu ini, peluh baru sahaja menitis dari dahi. Nafas saya tercungap-cungap. Jantong berdegup kencang. Jangan burok sangka, jantung yang berdegup kencang ini bukan kerana saya dipanah asmara atau dilamar Jessica Alba. Saya berjoging. Ini semua kerana gara-gara sepupu saya yang berkata gades itu sukakan jejaka berperut kental. Celaka!

p/s: saya berjoging bukan kerana awek tersebut tetapi kerana perut saya. TQ.

Search This Blog