Total Pageviews

Thursday, March 18, 2010

Beg Plastik



Hari ini saya membeli nasi bungkus. Nasi ini saya letak ayam goreng, kuah kari, beberapa urat ulam dan secukup rasa sambal belacan. Saya serahkan kepada gades yang tidak seberapa cun tapi genit dan mengiurkan untuk dibungkus dengan kertas berwarna coklat. Lalu dibungkus pula dengan beg plastik berwarna merah. Saya membayar dan beredar namun sempat kembali menoleh dan menjeling kepada gades genit itu, nasi bungkus saya dan dua nasi bungkus dia lebih kurang saiznya. Saya tersenyum dan beredar.

Saya singgah pula ke gerai minuman. Di sini ada menjual air buah. Air mangga ada. Air tembikai ada. Air Honey Dew (bahasa melayunya apa?) pon ada. Saya memesan air mangga untok dibungkos. Makcik itu membungkos air mangga saya dengan plastik putih ikat tepi seperti biasa. Makcik ini sudah paham dengan kehendak pelanggan tetapnya ini. Kemudian dia meletakkan penyedut minuman. Saya tidak gemar ikat penoh kerana makcik ini pasti akan membungkos pula dengan plastik merah untok memudahkan saya membawa minuman yang dibeli. RM1. Saya bayar kepadanya dan terus menapak menuju ke rumah.

Saya kembali ke rumah. Perot sudah menggigil dengan tahap getaran 4 skala richter. Saya pantas menuju ke dapor bagi mendapatkan pinggan mangkok serta mug kesukaan saya. Kembali ke ruang tamu dan dudok bersila di depan televisyen. Hidop seorang bujang memang begini. Peneman untok bersantap adalah kotak televisyen. Saya sangat gemar jika peneman saya ini bercerita tentang kisah-kisah masakan ketika saya bersantap. Ini secara tidak langsung akan menambahkan selera makan saya.

Saya membaca doa makan sambil mata tidak berkedip melihat chef itu membebel-bebel dalam kotak televisyan. Maaf, saya bukanlah seorang yang pandai memasak. Saya cuma berminat melihat masakan panas yang berasap-asap dan cara masakan itu dihidangkan. Cantik dan menyelerakan. Pabila daging dan rempah ratus dituangkan ke dalam kuali yang berisi minyak panas, maka terbitlah irama indah. Pantas membangkitkan nafsu berahi saya. Aroma nasi bungkos saya ini pula menikam kalbu bak seperti dalam kotak televisyen itu.

Ketika saya dibawah paras sedar, nasi bungkos ini telah habis ditelan. Saya enggan percaya bahawa diri ini mampu menghabiskan nasi bungkos itu. Kebiasaannya saya gagal puas dengan hanya satu nasi bungkos sahaja. Saya suspek saya telah dipukau atau diguna-guna. Namon saya cuma seorang diri dalam rumah ini. Peneman saya cuma sebuah kotak televisyen. Saya kembali waras setelah kesangsian saya ini langsong tidak berasas.

Saya mengemas sisa-sisa makanan dan membungkos ke dalam plastik merah yang saya dapat percuma ketika membeli nasi itu tadi. Pinggan dan mug diangkut bersama dan dibawa menuju ke dapor. Saya membuang plastik merah yang berisi sisa makanan itu ke dalam tong sampah. Saya merenung ke tong sampah itu. Rasa saya baru 3 hari lepas saya buang sampah dari tong ini. Tapi kini penoh. Penoh sehingga hampir melimpah keluar. Semuanya dipenuhi plastik-plastik. Plastik yang sukar dicerna di perot bumi sehingga menghasilkan pencemaran yang menjadi-jadi.


Saya merasa bersalah kerana saya adalah salah seorang penyumbang ketidakstabilan eko-sistem semulajadi planet ini. Saya rasa bersalah kepada penyu kerana telah membiarkan penyu tersalah anggap plastik itu adalah obor-obor makanannya. Padahal saya telah berjanji dengan diri ini akan menyelamatkan planet ini dari toksik-toksik plastik ini dahulo.

Saya membasoh tangan dan pinggan yang digunakan. Saya rasa mulai esok saya akan membawa pinggan dan mug saya sendiri ketika membeli belah nasi bungkos. Saya kembali tersenyum sambil terkenangkan nasi bungkos tanpa beg plastik gades genit itu. Tolong jangan burok sangka.

Wednesday, March 17, 2010

Karena kos itu

Saya bukan manusia yang sempurna.
Kadang-kadang kemarau kekeringan kertas wang melanda dengan amat dasyat.
Bukan...bukan kadang-kadang.
Biasanya adalah selalu.
Kering dan tandus saku ini amat perit.
Bukan saya sahaja mengalaminya.
Saya amat pasti ramai lagi umat manusia di luar sana yang turut merasa.

Kehidupan yang sukar ini membuat saya rindu kampung.
Di kampung tidak mewah tapi cukop selesa.
Ada ayam. Ada kambing. Ada lembu.
Berkawan dengan ayam dapat telurnya.
Berkawan dengan kambing dapat bulunya.
Berkawan dengan lembu dapat apa?
Tapi yang pasti, saya tahu apa anda dapat jika berkawan dengan penyu.

Setiap minggu pasti ada jemputan.
Saya bukan siapa-siapa. Saya cuma kawan yang setia.
Jika ditolak pasti sang teman kecewa.
Olih itu janji diucap tanda undangan diterima.
Karena hati enggan hancurkan harapan dia.

Lalu saya mengeluh lagi.
Jadual hidop saya tahon ini sudah padat.
Penoh dengan aktiviti yang dasyat.
Aktiviti ini datang dengan pakej lengkap.
Pakej penderaan mental yang maha hebat.
Bila lagi giliran Nazrsyadid Kadri...
Bolih sakit jiwa jika berulang-ulang ditanya.

Adoi...
Sampul-sampul surat itu tak dibuka lagi.
Saya tahu kandungannya.
Berderet jempotan perkahwinan.
(sambil mengesat peloh di dahi...)

Tolonglah sesiapa dermakan wang untok saya.
Supaya saya dapat mengelilingi Malaysia.
Dan berjumpa setiap teman yang akan merai ratunya.
Tolonglah.

Friday, March 12, 2010

Makluman Para Pembaca!



Melihat cuaca.
Kering, panas, membahang.
Peluh menitis - mengalir dari dahi.
Keluh-kesah, tuboh ini enggan dudok diam.

Melihat cuaca.
Angin bertiup dingin.
Awan kembali mendong.
Hujan turun setitik-setitik menjadi lebat.
Lega dan nyaman - satu kenikmatan.

Itu antara punca saya rasa saya ingin berhenti menulis buat sementara waktu - cuaca. Kepada pembaca-pembaca saya, sila jangan halang hajat saya. Bukan hajat saya untok dilunaskan di tandas, tapi hajat saya mahu berhenti menulis buat sementara waktu. Saya sudah tekad. Jangan pujok saya. Dan jangan nyanyikan lagu relaku pujok - spider.

Tolong maafkan saya. Mungkin ada yang terasa dan terguris hati dengan tindakan saya ini. Mungkin sudah sampai masanya untok saya berubah. Mencari kepuasan dalam diri yang hakiki bagi menikmati sepenohnya hidop ini. Olih itu kepada peminat-peminat blog saya, tolong jangan meratapi ketiadaan tulisan saya. Nikmatilah hidop ini, lihatlah alam dan bertanyalah mengapa dunia ini bercuaca aneh begini.


Pernah sang teman karib bertanya;
"Mengapakah kau mahu berhenti menulis? Sedangkan aku dan pembaca-pembaca blogmu terhibur dengan setiap penulisanmu?"

Lalu saya menjawab;
"Sahabatku, di skrin laptop ini tidak bolih dicakar dengan pena atau pensel. Seharusnya aku berhenti menulis. Aku perlu bergiat aktif menaip pula." - jawapan saya sambil muka menunjukkan ekspresi penuh kejujuran.

KEDISH! Satu tumbukan tepat ke meja olih sang teman karib ini tanda dia menyesal. Menyesal bertanya. Menyesal bertanya, sesat jalan. KAHKAHKAH!

TQ!

Wednesday, March 3, 2010

Jalan Jalan

Pagi hari minggu enak rasanya jika kita bersantai. Apatah lagi jika pagi minggu ini disinari cahaya matahari yang indah. Termenong sebentar saya di kaki katil. Hari-hari yang lalu saya penat memburoh, apakah perancangan hebat hari minggu untok diri ini?

Malam tadi ada Jessica Alba SMS saya ajak dating pada hari ini namon saya menolaknya. Konon ego. Pasti dia merajuk kerana sampai sekarang dia tak SMS kembali saya. Artis...tak bolih dimanjakan sangat. Alex Ferguson pula SMS ajak meleser di kedai mamak. Katanya Final Carling Cup, Em-Yu lawan Esten. Tapi itu lewat malam.

Sedang saya yang kebingungan memikirkan perancangan hebat apakah bakal terjadi di hari minggu ini, datanglah SMS tidak diundang ke dalam telefon canggih ini. 'Ting-Tong' - bunyi nada telefon saya. Ajep yang menghantar. Agak lama mamat ini menyepi dari dunia hiburan saya.

"Bro, aku dah jadi bapak. Dapat baby boy pukol 11 tadi. Hahaha!" begitulah menurut SMS yang diterima saya. Gembira benar kawan ini kerana di akhir SMS itu ada bunyi gelak besar. Saya tersenyum. Eh, sudah pukol 11? Pagi betol saya terjaga.

Kalau pergi tengok bayi baru lahir ini pon syok juga. Lagipon hospital yang Ajef sang-baru-jadi-bapa ni pot bukanlah jaoh sangat. Cuma 2 marhalah saja. Ok, ini perancangan hebat di hari minggu saya. Melihat bayi! Dengan pantas saya pukol talipon untok berkata-kata dengan Said. Beliau yang menjawab dengan caci maki kerana menurotnya saya telah potong stim beliau mengayat Diana Danielle di Fesbuk. Peduli apa! Said pinta saya ambilnya di rumah. Agak lama tak pergi rumah mamat utara ni lalu saya minta dia SMS alamat rumahnya. Dia kata ok.

Pukol talipon kepada Deq pula, Deq kata beliau on dengan suara garau malas-malas. Gaya macam baru bangun tido je. Jawab ajakan saya yg tulus ikhlas ni pon lalok. Saya kata 20 minit sampai rumahnya, bersiaplah cepat. Dia jawab, dah dekat trafik light nih. Celaka, oit bangunlah! Aaa...aaa...terus dia letak talipon.

Bergegas saya pergi mandi debush-debush! Pakai wangi-wangi. Pakai semat-semat. Pakai cantik-cantik. Orang kata 1st impression itu penting. Saya perlu memberi gambaran pertama yang cantik di hadapan bayi baru lahir ini supaya beliau tidak terkejut melihat kekacakan Ayoh Did ini. Siap siaga. Setat kereta lalu terus laju menusor jalan menuju rumah Deq.

Sampai rumah Deq, dia sedang menunggu depan pintu rumahnya sambil hisap keretek dengan kool. Tapi tanpa baju. Cuma berkain tuala. Saya menggeleng kepala. Badan sekeping kejadah apa ditayang depan rumah. Selesai sekuntom keretek dia masok ke dalam rumah memakai baju. Tak lama cuma 15 minit. Berpeloh gak lah dahi menunggu mamat ni bersiap.

Saya menanya kalau-kalau Deq ini maseh ingat rumah Said. Deq kata tak tahu. Aiseh ini leceh. Kami berdua pon teruslah menuju rumah Said berpandukan alamat yang di SMS tadi. Kawasan perumahan Said ini, saya pernah sampai dalam 2 kali tapi maseh gagal disimpan dalam kotak memori ini.

Sedang mencari-cari jalan rumah said, saya mengusolkan cadangan kepada Deq supaya menanyakan sahaja arah dari mana-mana mamat yang ada nanti. Deq menganggok. Setujulah tu.

Elok sahaja saya memasuki simpang mencari-cari Jalan Yuyut, ada seorang abang rambut botak sedang berjalan kaki di tengah-tengah jalanraya. Saya terkejut lalu hon. Deq turunkan cermin tingkap kereta. Abang tadi pon berpaling ke arah kami.

"Semekom!" Deq mulakan bicara.
"Wa'alaikom salam!" jawab abang rambut botak itu.

"Abang, tumpang tanya...mana Jalan Yuyut?"
"Ni Jalan Yuyut lah ni."
"Oh, ingat ni jalan bapak abang!"


Saya dengan pantas kilat menekan pedal minyak sampai lantai kerana khuatir abang rambut botak menggila baling batu pada kami. Celaka kau, Deq! Nak nasehat pon beretika la sikit.

Wednesday, February 24, 2010

Tenong sambil sengih-sengih

Dudok menunggu habisnya masa bekerja adalah saat paling membosankan. Mata sudah layu, kepala sudah tersenggok-senggok menandanya betapa tenaga yang tersimpan dalam susok tuboh badan ini di tahap paling rendah. Perlu dicas secepat mungkin.

Budak-budak opis kesemuanya awal-awal lagi sudah keluar. Alasan kononnya ada tugas di tapak projek. Cis! Melarikan diri. Bukan rajin pon. Maaf, hati saya memang penoh syak wasangka kepada tahap kerajinan mereka. Usah ditanya mengapa.

Dan tiba-tiba saya mendapat panggilan talipon. Suara garau sang pemanggil tidak saya kenali. Katanya dia dari syarikat si polan polan telah menghantar satu dokumen ke emel saya. Haros bertindak segera dan mahu respon secepat mungkin. Panggilan tamat.

Aih, saya buka emel sambil mata berair. Mulut menguap besar tanda oksigen di otak tidak mencukopi. Kepala di geleng-geleng dan badan mengeliat panjang supaya mendapat kesegaran optima. Rasa macam mahu bertaichi bagi menghilangkan ngantok ini. Tapi setelah difikir-fikir...bila masa pula saya menuntot ilmu taichi ni?

Terus saja emel dibuka dan terpampang 33 mesej dalam peti masuk saya. Banyak betol! Dokumen apakah encik bersuara garau ini hantar? Lalu tanpa membuang masa, saya pon buka peti masuk.

Berderet deret emel...buka yang pertama. Dari Facebook. Sang gades manes bergetah mengomen gambar anda. Sila ikutan pautan di bawah. Saya klik. Facebook saya terpampang. Berdekah-dekah saya ketawa. Saya kena balas komen beliau. Ilham datang tanpa henti untok mengenakan balik sedas komen berapi kepada beliau.

Buka pula emel kedua. Dari Facebook. Sang Arjuna mengomen pada status anda. Sila ikutan pautan di bawah. Saya klik. Lagi saya ketawa berdekah-dekah. Ayat macam celaka. Saya kena balas komen ini, lagi sekali saya hantar komen dengan ayat pedas.

Buka pula emel ketiga. Juga dari Facebook. Perkara yang sama saya lakukan. Emel keempat juga begitu. Banyak sunggoh dari emel dari Facebook. Sehinggalah emel ke dua puloh enam.

Berbunyi 'Pop' pada Facebook saya. Alamak! Ada kawan mahu berchatting pula. Mengajak minom petang bersama. Meleser bagi melepaskan penat dan lelah setelah 8 jam memburoh. Saya setuju. Katanya pot situ ada gades pelayan cun. Saya ketawa berdekah-dekah. Perangai tak berubah padahal umur dah senja.

Tiba-tiba Bos datang melintas.

"Eh, lama benar kau downlod dokumen."
Alamak! Macam mana saya bolih terlupa.

Terus riak wajah saya bertukar serius.
Sambil jawab, "sikit lagi bos."

"POP! POP!" bunyi di paparan Facebook saya.

"Uih, Dasat bunyi download dokumen sekarang ya" kata bos. Beliau ambil fail atas meja saya sambil berlalu pergi.

Aiseh. Bos buat-buat tak tahu jek la kata hati kecil saya sambil membuat aksi taichi tanda bosan.

Friday, February 12, 2010

Tempat Keramat

Hari ini saya telah pergi ke satu tempat yang sangat menggamit nostalgia. Nostalgia dari saya kecil sehinggalah saya dewasa. Nostalgia dari saya belom akil baligh sehinggalah saya terlebih baligh. Nostalgia jatoh bangunnya saya. Dan di tempat itulah saya jumpa cinta saya.

Tidak lama dahulo tempat ini menghimpunkan seluroh warga desa dan kota dari segenap pelusok Pahang. Sewaktu saya menetap di Bentong, ayahanda saya kerap ke Kuantan bersama kawan-kawannya untok ke tempat keramat ini. Katanya tempat itu terlalu ngeri. Takot-takot saya tidak mampu mengadaptasi keadaan sekeliling dengan jiwa kerdil ini, maka ayahanda tidak bawa saya bersama. Ketika itu saya baru saja berumur 8 tahon dan hanya mengenali Mospeda dan He-Man. Olih itu, pada fikrah akal saya baeklah saya bermaen dengan kad bergambar karton kegilaan saya itu daripada melayan kerenah orang-orang tua. Itu lebih bersifat kebudak-budakan selaras dengan usia saya.

Kemudian, kami sekeluarga berpindah ke Kuantan. Waktu itu saya berumur 10 tahon. Pada waktu itulah ayahanda mengajak saya ke tempat keramat itu. Ayahanda kata sudah tiba masanya untok saya turot serta. Sudah bolih menghadapi tekanan dan dugaan. Sudah tahu baek dan burok. Saya berdebar. Saya tahu malam itu bakal mengubah perjalanan hidop saya. Detik yang tidak pernah saya terfikir langsong sebelom ini.

Adik beradik saya yang lain turot serta. Kami berempat menapak ke tempat keramat itu. Hati saya berdegop kencang. Pelbagai soalan menjelma dalam benak hotak geliga saya. Saya melihat adik dan abang-abang saya melangkah penoh berani menuju ke destinasi. Lantas mematikan segala syak wasangka yang bukan-bukan.

Setiba sahaja di tempat keramat itu, saya terpegun. Benarlah bak kata ayahanda. Sesiapa menjejakkan kaki ke tempat ini, pasti akan datang aura luar biasa. Saya benar-benar terpesona. Sepanjang malam itu, saya terpekik terlolong macam pesakit histeria.

Dengan kekuatan yang ada, saya memanggil, "Abduraimov! Abduraimov!". Beliau melemparkan senyuman dan mengangkat tangan. Saya tersengih lalu teros bercita-cita mahu menjadi pemain bola, bukan lagi Pekerja MPK bahagian sembur-sembur nyamok. Esoknya, suara saya persis Saleem. Nyanyi lagu 'Bukan ku tak sudi' sebijik macam kaset. Gila rock!

Kini 15 tahun sudah berlalu.


Sungguh sunyi sepi. Tiada lagi ragam manusia. Tiada lagi gegak gempita. Tiada lagi kekecohan itu. "Tiada lagi yang kuharapkan, tiada lagi yang ku impikan, biar aku sendiri tanpa dirimu" - muzik latar, Amy - Tiada Lagi. Wajib karaoke lagu ini.

Tempat ini punya sejarah yang unik. Dahulu penoh meriah. Dahulu penoh dengan ragam manusia. Dahulu penoh dengan gegak gempita. Ia betol-betol mengujakan saya. Tapi kini suasananya berubah.

Di sinilah tempat berkumpolnya wartawan sukan, jejaka-jejaka kacak, budak-budak sekolah, gades-gades mungil, pakcik-pakcik tak sedar diri, Hasbullah Awang, Budak PBSM angkat stretcher, budak Milo kutip bola, penjual burger seringgit dan pemain gendang dan kompang yang bersuara sumbang menyanyi - mungkin kecewa kerana tidak layak masok AF.

Dahulo tempat ini berbaris umat manusia berpusu-pusu masok. Biarpon tempat dudok macam haram. Langsung tidak empok. Tempat dudok diperbuat dari batu. Dudok atas batu, bontot rasa sejok. Namon ia tidak menghalang mereka ini semua. Bontot yang sejuk dipanaskan dengan semangat membara. Tanpa mengira warna kulit, agama, bangsa, saiz, pandangan politik, tahap IQ dan pendapatan bulanan, mereka bersatu dan berpadu-padu memberi sokongan dengan niat yang sama; ingin melihat pasukan Pahang menang.

Sekarang apa sudah jadi dengan Stadium Darulmakmur ini. Suram dan muram. Apekah patot di runtohkan sebahagian bumbungnya supaya dapat menjadi tumpuan orang ramai seperti mana stadium di Terengganu? Sekurang-kurangnya bolih menjadi salah satu simbol bangunan bersejarah. Pelancong-pelancong asing bolih datang melawat dan melihat salah satu stadium yang punya deretan kedai di sekelilingnya, yang punya enam tiang lampu dan yang punya tempat dudok penonton zaman Flinstone. Jika idea ini bernas, saya wajib menubohkan syarikat agen pelancongan secepat mungkin.

Malam minggu, lampu stadium menyala. Namon saya tidak nampak gelagat manusia. Maseh terdengar pekikan mamat fanatik bola. Eh, atau itu suara jurulatih? Saya gagal mencari jawapannya kerana saya malas nak masok ke dalam. Kereta yang parkir cuma beberapa kerat. Bolih dikira dengan jari kaki saja. Lantas saya berlalu pergi.

Esok paginya, saya melalui lagi tempat ini. Parkir stadium penoh dengan khemah. Di sisi jalan bersusun kereta berhenti. Khemah-khemah yang terpasang bertulis, 'PASAR TANI'. Pasar Tani? Saya tersenyum lalu aura itu datang kembali. Aura yang selama ini terpendam hampir 15 tahun. Aura untok berpadu-padu. Saya teruja untok bersama makcik-makcik untok membeli sayor di stadium. Ini betol-betol 'rare'!

Monday, February 8, 2010

Kental atau kenyal?

Minggu lepas berlangsungnya majlis perkahwinan abang saya. Di tengah-tengah kotaraya. Olih kerana itu, tiada gotong-royong memasak. Semuanya sedia terhidang olih pihak katering. Namon aktiviti tradisi seperti bersanding maseh ada.

"Kacak juga pengapit". Mungkin mereka sangka saya tak dengar tapi mana-mana ayat pujian yang keluar dari mana-mana mulut seorang gades manes dan bergetah pantas dikesan olih telinga ini. Tetapi anehnya, sebarang ayat nasehat yang berupa unsur-unsur kebaikan terkeluar biarpon dari Bunga Cinta Lestari, tetiba telinga saya menjadi tuli. Ini memang kelebihan saya, tolong jangan raguinya. Olih kerana ayat pujian tadi, bibir saya tersenget-senget menahan senyuman kerana perasaan bangga perlu dikawal agar muka macho terus terpampang.

Gades tersebut mengambil gambar pasangan pengantin. Mungkin sebagai bukti CSI kepada kawan-kawannya yang beliau telah berjaya datang ke majlis perkahwinan Abang saya biarpon majlis ini tak sehebat majlis perbandaran kuantan. Gades itu berlalu dan menuju ke meja santapan bersama sahabatnya tadi menyertai sepupu saya yang tengah lahap mentekedarah tanpa pedulikan suasana sekeliling.

Tepung tawar dan renjis-renjis berjalan. Keadaan menjadi hangat dan meriah. Saya turun dari pentas pelamin setelah puas mengipas raja sehari. Peloh diketiak pula sudah bertakung. Saya memerlukan air lantas saya menuju ke meja makan. Perut berkonsert metal dari tadi. Mungkin air ini patot berulamkan nasi minyak. Dengan sopan saya mencedok satu per satu lauk yang ada. Tanpa disangka, 2 pinggan juga saya bantaikan. Gades manes tadi, yang berbaju kurung merah hati dan bertudung Yuna bangun dari mejanya. Namun sempat jua dia menoleh saya disini. Lantas ketika itu berdendanglah suara karaoke dari Aris Ariwatan, "Namun sempat jua kau menoleh...ku disini" -Lamunan Terhenti.

Aih, celaka. Dari mana pula datang muzik latarbelakang ini?

Gades itu tersenyum. Saya ternganga. Cuba saya membalas senyumannya sambil mengenyit mata tetapi hati gusar. Hati berdebar. Hati kembang kecut. Takot-takot jika ayahanda dan bonda gadis tersebut ada bersama. Bolih jadi parang tercacak di kepala saya. Baru betol-betol CSI.

Tak lama kemudian, datang sepupu saya. Membisikkan sesuatu kepada saya. Lantas dia tergelak kecil. Mengade-ngade.

..............

Ketika dah waktu ini, peluh baru sahaja menitis dari dahi. Nafas saya tercungap-cungap. Jantong berdegup kencang. Jangan burok sangka, jantung yang berdegup kencang ini bukan kerana saya dipanah asmara atau dilamar Jessica Alba. Saya berjoging. Ini semua kerana gara-gara sepupu saya yang berkata gades itu sukakan jejaka berperut kental. Celaka!

p/s: saya berjoging bukan kerana awek tersebut tetapi kerana perut saya. TQ.

Search This Blog