Total Pageviews

Showing posts with label ngade-ngadelah. Show all posts
Showing posts with label ngade-ngadelah. Show all posts

Saturday, June 11, 2011

Bermaen Petang 1

Pada suatu petang yang tenang, kelihatan seorang pemuda yang bolih dikategorikan 'brader-brader' yakni saya sedang bermaen bola bersama anak sedaranya. Anak sedaranya yang bernama Ijat ini bercita-cita besar untok menjadi pemaen bolasepak tersohor satu hari nanti.
Saya: Ijat, pass aa bola tu.
Ijat: Saya bukan Ijat. Saya Ro!
Saya: Ro mane plok?
Ijat: Anak Ho!
(jawab sambil kaki buat skil silang-silang bola)
Saya: Huh? Sape tu?(Serius saya gagal pikap taim ni)
Ijat: Ro-bin-ho (Jawab sambil cip bola kepada saya)
Saya: Ceh!
(Saya tersenyum sinis. Duuwwwssshh! Saya membuat voli tepat ke arah pintu gol selipar jepon)
pic: Kelihatan gua dan Ijat sedang meraikan gol!

Monday, May 9, 2011

Obses!

Saya berjaya sampai ke ibu kota. Jarom jam menunjokkan pukol 5 petang. Perjalanan jaoh secara solo memang enak jika menaiki bas. Sekurang-kurangnya ada pendamping kiri dan kanan. Jika bernaseb baek, bolih berdamping dengan puteri gunong ledang. Tapi untok sesi kali ini, saya cuma bertemankan mimpi. Lagipon sepanjang perjalanan KL-Terengganu hujan menangis tanpa henti, memang penambah perisa yang baek untok tidor.

Ibu kota ketika itu sedang sesak dengan warga kota yang baru pulang dari memburoh. Semua berpusu-pusu mahu pulang dengan cepat. Saya juga tak terlepas untok turut serta dalam acara berpusu-pusu menaiki tren. Macam satu perayaan pula. Tersengih sebentar saya dengan gaya gedik sambil mengusong beg baju saya yang agak berat.

Setelah membeli tiket, saya pergi ke ruangan menunggu. Tiada tempat dudok. Berdiri pon tak mengapa. Saya tidak kesah. Mungkin lebih bagos. Pandangan lebih jelas. Nun di seberang landasan, saya ternampak beberapa warga kota yang cun dan menarik sedang mengalami nasib yang sama seperti saya. Berdiri menunggu Sang Keretapi untok singgah. Ada yang menempel-nempel bedak. Ada yang asyik menekan punat-punat telefon bimbit. Ada pula yang bergaya seperti makcik bermuncong-muncong bibir bergosip tak bertapis. Dan ada yang buat-buat dengar MP3 sambil jeling-jeling saya. Konon saya tak perasan lah tu.

Si Jejaka-jejaka warga kota yang sedang menunggu pula tidak pula mendapat perhatian saya. Saya tahu mereka semua kool seperti saya. Cuma perlu berdiri tegak sambil tercegat menahan napas. Ini tektik bagi menampakkan perot kental ketika menunggu tren.

Sedang leka saya memerhati, datang dua orang gadis kecil molek berdiri sebelah kanan saya. Dari gaya pemakaian, saya syak mereka pasti baru pulang dari kantor. Gaya elegen. Kasot bertapak setebal batu bata. Saya buat-buat kaku agar mereka tak sedar tentang kewujodan susok ini.

Si gades dan rakannya asyik berborak. Saya yang memang tak pernah dan terniat nak ambil tahu hal orang laen turot terjebak. Secara automatis telinga saya terpasang. Lagipon suara si gades itu dah sama level dengan bunyi tren. Sikit punya kuat. Tak perlulah saya hulor telinga dekat-dekat.

"Weh, berat i dah naik 1/2 kg la. What should i do?" itu salah satu ayat saya dapat tangkap dari mulot si gades itu dalam hiruk pikuk kota.

Si rakan pula, "U ni obses sangat lah. Dari minggu lepas dok risau. Jaga makan, u should be ok." Begitulah lebih kurang nasehat si rakannya. Saya tersenyum.

Dan tak lama lepas tu, datang pula sepasang merpati dua berjoli. Berdiri pula di sebelah kiri saya. Si Arjuna mengesat peluh di dahi. Si Dara membimbit dua beg plastik. Saya membuat kesimpulan mereka ini baru pulang dari mengabiskan duit PTPTN. Sambil menjeling, saya terdengar babak perbualan mereka.

"Awak ni makin lama makin tembam lah. Awak diet tak?" Kata Si Arjuna. Walaupon sayup-sayup suara si arjuna, saya bab ni memang cekap mendengar beb.

"Ala abang ni. Asyik-asyik cakap saya makin tembam. Bosanlah!" Si Dara itu bersuara agak tinggi. Mungkin rimas dengan kerisauan kekaseh hatinya. Sekali lagi saya tersenyum.

Berat. Berat. Berat.

Sudah menjadi fitrah - Si Gadis obses dengan berat badan sendiri! - Tapi sudah menjadi fitrah Si Jejaka obses dengan berat badan Si Gades! - bukan berat badan sendiri!

Kahkahkah! - gua tergelak kuat. Lalu cepat-cepat naik tren. Nanti orang sangka gua psycho. Bahaya juga jadi pemerhati ni. Cilaka, berat pulak beg baju gua!

Sunday, April 24, 2011

Efek Jangka Masa Panjang

Saya berlari tercungap-cungap. Petang tapi maseh panas. Matahari memancar garang. Sudah tiga hari cuaca panas di Terengganu ini. Peloh masam mula membasahi ketiak.

Pagi tadi gua ada baca akhbar. Kecoh. Betol-betol kecoh. Nasi Lemak diharamkan dijual di sekolah. Kunonnya akan mengakibatkan obesiti di kalangan pelajar. Saya tergamam. Hidung yang mancong sedari tadi mula kembang kempis! Terus saya nekad nak berjoging tiap-tiap petang.

Ya, saya tak bolih mudah mengalah. Saya teros berjoging. Ini penting. Ini tekad saya! - getus hati kecil. Peloh yang mengalir dari dahi ke pipi dibiarkan. Sambil berjoging, sambil saya terkenang kesah-kesah lalu di zaman muda.

*Blink Blink*

Saya tiap-tiap hari makan nasi lemak waktu ni. Dari sekecil-kecil cili api sehinggalah tamat zaman persekolahan, saya makan nasi lemak. (Masok U, dah tak layan nasi lemak sebab selalu sengkek). Bolih kata makanan ruji lah. Nasi lemak dan saya ibarat kawan baek. Di mana ada nasi lemak, di situ ada saya. Tapi kini -

Ketol-ketol otot dah tenggelam. Otak pon dah macam tak berapa nak betol. Betol-betol efek jangka masa panjang, der! Bahana nasi lemak. Bahaya gua cakap lu. Gua setuju sangatlah kerajaan haramkan nasi lemak ni. Kahkahkah!

Wednesday, December 8, 2010

Sensasi Untok Renungan

Puas saya mencari. Cari di dalam kabinet - tiada. Cari di bawah meja - tiada. Cari di dalam laci - pon tiada. Lalu saya mencari di dalam kereta. Rupa-rupanya dia menyorok dicelah kerusi. Cis! Menyusahkan betol. Kecik-kecik tak nak mampus, dah besar maen selit-selit pula. Inilah suratkhabar yang dicari-cari selama ini. Saya membawanya masok ke dalam rumah dan membentangnya di lantai. Dengan pantas, saya bersila dengan gaya pahlawan silat dulukala.

Saya merenung tajam memerhati berita utama yang terpampang dimuka depan akhbar. Kusyuk. Nyamok aedes datang hinggap dibahu tapi langsong saya tak goyang. Olih kerana risau terkena denggi, saya berpaling dan menghembuskan angin dari hidong. Aedes pon terbang dengan menggigil ketakotan.

Mata kembali tertumpu ke dada akhbar. Apa yang saya baca di akhbar - kesah pasal kes Khir Toyo kena sound dengan Ghani Patail supaya diam. Kesah pasal orang langgar-langgar mati. Kesah pasal orang kantoi romen sana-sini. Semuanya dimuka depan. Lalu saya menggeleng-geleng kepala biarpon sepatotnya saya hanggok-hanggok kerana blog saya bernama hanggokan. Meriah rupanya aktiviti-aktiviti kat Malaysia ni.

Selak lagi ke muka surat kedua dan ketiga. Kes anak amponkan bapak sebab bapak curahkan asid sampai muka si anak hampir sama dengan cekodok - saya geleng kepala. Kes ibu yang bercita-cita menjadi seperti Donald Trump dengan menjual anak dalam perot - saya geleng kepala. Kes orang kampung sinseng kaki seluar redah banjir - saya geleng kepala. Meriah. Meriah. Meriah.

Habes tu mana cerita kes harga minyak naek ni? Mana cerita kes subsidi nak kena tarik? Mana cerita kes tanah kena rembat? Ada. Bukan takde langsong. Carilah di sudot-sudot kecil. Untong nasib, jumpalah cerita itu. Iklan SMS nombor Magnum 3-D pon lagi besar. Saya geleng-geleng kepala lagi.

Sememangnya saya mendapat tahu berita pasal minyak naek hasil dari pembacaan. Namon bukan hasil pembacaan akhbar aros perdana ini tetapi hasil usaha gigih saya membaca SMS kawan saya. Harga minyak agak meresahkan saya berbanding harga gula. Ini kerana saya kekurangan minyak dan tidak mudah naik minyak. Olih itu saya sangat sangat memerlukan minyak. Manakala gula tidaklah saya risaukan sangat kerana saya sudah semulajadi berdarah manes, berwajah manes dan berawet manes. Bak kata orang seni - schwweet gitu!

Saya sempat isi minyak penoh pada kadar harga sebelom naek 5 sen Jumaat lepas. Ia langkah penting kerana saya berjalan jaoh menuju Grik dan Alor Setar di hari minggu bagi menghadiri kenduri mengawan kawan-kawan. Biarpon nampak tak banyak tetapi sikap berjimat cermat haroslah diamalkan sejak dari rebung lagi. Saya maseh lagi rebung - tolong percaya! Maseh hijau dan muda, beb.



Akhir sekali, saya belek ke mukasurat terakhir. Cerita pasal sukan. Skuad bolasepak Malaysia sedang mengalami krisis kecederaan pemain. Ini betol-betol merisaukan saya. Saya membaca berita ini dengan peloh bertakong di dahi. Rajagobal pening - lagilah menambahkan risau saya. Rasanya wajib saya belikan beliau panadol. Safee Sali pula saket lutot - wajib ke saya belikan beliau power root? Manakala Asraruddin Putra Omar dan Fadhli Mohamad Shas dilanda demam - saya hanya mampu berdoa agar mereka dicucuri rahmat. Hampir saja menites ayer mata saya membaca keperitan perjuangan skuad bolasepak kita ini. Lagi sekali saya geleng kepala.

Setelah habes membaca, barulah saya teringat tujuan utama saya tadi. Sudah tersasar jaoh niat saya ini. Saya bentangkan dengan cermat di depan lalu terletak molek akbar itu. Saya ambil pengetip kuku dan mengetip kuku kaki. Cepat betol panjang kuku kaki ni. Ishk!

Monday, November 22, 2010

Anugerah Dialog Tahon Ini

"Aku ni tak penting dowh....
Aku bagi dia pilihan dowh...
Aku bagi dia KLCC atau aku dowh...
Dia pilih KLCC dowh...."


Setelah saya mendengar dialog ini, saya rasa wajib untok saya menangis sambil membuat lompat bintang-tepok tangan atas-tepok tangan bawah. Siyes sangat menyentoh hati. Mungkin ini maknanya November Rain. Kepada yang maseh ternganga sambil garu-garu kepala, silalah terjah youtube. Carilah filem pendek ini. Kahkahkah!

Saturday, October 30, 2010

Mari berperibahasa!


Harapkan Pagar, Pagar Makan Cat.

-

-

-

-

-

P/S: Maksudnya? Takde apa. Kahkahkah! Amacam? Ada seni tak? Ini baru 'true' art. Kahkahkah!

Wednesday, September 29, 2010

Jeling Menjeling



Saya maseh kepenatan. Maklomlah, puasa tak tinggal. Puasa mabrur. Ijat maseh aktif bermaen-maen di depan saya. Berlari ke hulu ke hilir. Stamina tinggi budak ni. Bergegar rumah bila dia memecut bak Tyson Gay. Padahal kejar kereta mainan je pon. Maklomlah, rumah kayu. Selalunya saya akan menahan tiang-tiang rumah di saat dia berlari. Tapi kali ini saya dah tak mampo berbuat apa-apa, apatah lagi hendak menegah perilakunya. Saya betol-betol kepenatan, hanya mampu menggerakkan biji mata ke kiri dan kanan sahaja mengekori jejak anak buahku itu - nak menggeleng kepala pon dah tak larat.

"Ayoh Did, jom lah main kereta ni. Laju kereta ni - pakai V Pawer." pujok Ijat. Saya hanya menjawab "Ehmm..." sambil menjeling tajam beliau dengan mata ekor. Mentang-mentanglah tak puasa. Saya yang terdampar di sofa teros menonton TV tanpa pedulikan Ijat dan keretanya. Layan Qalesya Musim Terbaru lagi bagos. Bolih tahan juga lawak Cikgu Abas ni. Menebenglah saya di depan TV sambil menunggu azan maghrib dilaungkan.

Apabila azan berkumandang, bersegeralah saya berbuka. Laok ala kadar sahaja. Situasi yang biasa berlaku kerana di dapor sibok dengan kuih muih untok persiapan menyambot hari raya. Seterosnya, saya mandi kebush-kebush dan solat maghrib. Hajat yang berbunga-bunga hendak ke masjid menunaikan terawih terbantot. Penat maseh menguasai diri. Kelihatan Ijat sedang kusyuk menonton TV. Dengan kadar yang segera, saya menyertai beliau. Menghempaskan buntot betol-betol di sebelahnya.

Skill Torres menjeling seperti Ijat

"Ayoh Did, Spain Lawan Argentina" kata Ijat dengan pantas apabila selesai bontot saya mendarat. Aih, demam bola tak habis-habis lagi? Saya memerhati kotak televisyen dengan kusyuk. Betollah - International Friendly.

"Spain ke Sepanyol?", saya cuba menduga Ijat.
"Spain" jawab Ijat dengan yakin.

Saya tersenyum nipis.
"Ye ke?" Tanya saya lagi.

" Ye la. Tu ada Torres main tu. Ayoh Did kenal tak Torres yang mana se ni?" Ijat pula cuba menduga IQ saya.

"Ayoh Did mana kenal Torres...", jawab saya dengan lembot.
"Lorh...yang hebat gile tu. Takkan tak kenal?" tanya Ijat lagi.

"Torres kenal lah Ayoh Did. Ayoh did mana kenal Torres." Sengih saya sampai ke telinga.
Ijat dengan tajam menjeling saya dengan menggunakan mata ekornya pula.

Yes! Yes! Ijat dah terkena. Kahkahkah!

Tuesday, August 31, 2010

Merdekahkahkah!

Saya berjalan menuju ke masjid. Hati ingin bertarawih.
Nun di satu sudut saya terperasan Jalur Gemilang berkibar.
Rupanya kejiranan saya ini patriotik.
Saya tersenyum nampak gigi - gaya anak muda yang cool paling true.

Selepas terawih, saya menuju ke rumah Encik Prit.
Beliau ingin membeli seluar skinny. Katanya ini gaya terkini anak muda yang paling cool.
Saya anggok-anggok. Dalam perjalanan ke rumah Encik Prit, saya lalu rumah Encik Salleh.
Rumah beliau tergantong bendera Malaysia.
Saya tayang gigi lagi - memang bergaya lah rumah Encik Salleh!

Selepas beli baju dan seluar skinny Encik Prit, saya menghantar beliau pulang.
Dalam perjalanan pulang, seketol kereta kancil memecot laju memotong dugong hitam saya. Kancil ini sangat rare - terselit bendera Malaysia di bonet depannya. Bukan seketol - tapi ada tiga ketol kancil berjalor gemilang ini.
Hati kecil saya berkata - teknoloji Malaysia - memang maju dan laju.
Lagi sekali gigi saya terpampang - kali ini nampak gusi. Merdeka betol brader-brader ni.


Balik rumah, saya ternampak sepucok surat untok saya. Alamak, Urusan Seri Paduka Baginda.
Saya kurang gemar surat-surat cinta dari beliau. Kerana jarang sekali beliau memberi khabar gembira buat saya. Surat cinta beliau sering kali membuatkan saya menetes ayer mata.
Saya membukanya. Ternyata tekaan saya tepat. Cilaka. PTPTN.
Kali ini tiada lagi gigi untok ditayang. Tiada lagi gusi untok dipampang.
Merdeka, brader... merdeka!

Thursday, August 5, 2010

Mari Membaca - bahagian satu

Hari itu merupakan hari pertama saya ke perpustakaan. Perpustakaan Awam Bentong. Asalnya perpustakaan ini adalah sebuah rumah kayu bertangga batu. Sangat klasik. Sekali pandang tak ubah seperti rumah 'Adabi'. Pernah sekali saya coba untok melakonkan watak hero dalam iklan Adabi dengan coba membuka tingkap perpustakaan itu dengan menyanyi dan tersenyom riang. Malangnya impian itu tidak kesampaian. Tingkap itu terlalu ketat. Saya ketok-ketok tingkap itu dengan harapan daun tingkap itu akan tersembol keluar - namon maseh gagal. Saya tidak pernah berputos asa. Saya coba lagi. Saya ketok. Ketok. Dan ketok. Tapi akhirnya kepala saya diketok olih abang pustakaan. Saya berputos asa setelah abang pustakaan itu berdehem-dehem sambil mencengilkan matanya. Fahamlah saya mesej yang coba disampaikan abang itu.

Namon tindakan abang pustakaan itu tidak meluntorkan minat saya untok berkunjong ke perpustakaan ini. Biasalah - semangat anak muda berusia 8 tahon. Mana tahu gentar dengan abang Pustakaan perot ketak 6 kotak, lengan ketol-ketol. Cuma saya akan coba untok mengelak dari bertentang mata dengannya. Saya rasa abang pustakaan ini cuma mesra dengan pengunjong perempuan dan tidak mesra adik-adik macam saya. Biroh betol. Tapi memang saya mengharapkan dia tidak mesra dengan saya. Ngeri pula bila dibayangkan. Di perpustakaan ini ada satu pot yang saya suka lepak. Tangga batu. Saya selalu bertenggek di tangga batu itu kerana bontot saya akan berasa sejok. Dan kesejokan itu akan menusok-nusok tulang sum-sum saya lalu menegakkan bulu-bulu roma. Ngeeee...Bagi saya ini sangat selesa kerana biasanya saya akan berkunjong ke perpustakaan ini di waktu tengahari yang panas terik sesudah habis waktu persekolahan.

Tempat ini bagi saya merupakan tempat yang sangat seronok. Kerana di sini terdapat banyak buku-buku cerita dongeng yang menurot akal fikrah otak saya pada masa itu sangat hebat. Contohnya cerita ayam yang meminjam jarom emas helang untok menjahit bulu kepaknya tetapi akhirnya jarom itu hilang - lalu ayam mengais-ngais tanah untok mencari jarom emas itu manakala helang berdendam dengan ayam kerana menghilangkan jarom itu. Saya melopong sambil menganggok-anggok kepala kerana percaya bulat-bulat dan berasa sangat kagom dengan cerita ini. Patotlah saya perhati ayam selalu mengais dan helang pula menyambar ayam untok menjadi lauk. Dengan kajian dan pemerhatian saya yang intelektualnya genius untok budak berumor 8 tahon, saya telah menyimpan hasrat untok membantu ayam mencari jaromnya. Untong-untong saya bolih jahit kepak sendiri - bolih terbang seperti superman. Namon akhirnya bonda saya telah menceritakan hal sebenar mengapa ayam mengais tanah. Itupon setelah hampir 2 tahon selepas saya membaca kisah itu. Nyata saya tertipu hampir 2 tahon dengan kisah ayam celaka itu. Berani ayam itu tipu saya.

Satu perkara tentang saya ialah saya tidak gemar meminjam buku disitu. Saya akan memilih buku yang tidak tebal mana, tidak nipis mana. Ngam-ngam soi. Cukop untok dihabiskan sebelom abang pustakaan itu menghalau saya dan mematikan penghawa dingin. Bukan kerana buku disitu tidak menarik atau terlalu seni tulisannya. Tetapi kerana saya tidak mahu dipandang sebagai seorang yang skima olih kawan-kawan. Mana kool seorang budak berumur 8 tahon merayau-rayau dengan tangan memelok erat buku di dada. Pelok buku cerita dongeng pula tu. Tak intelektual langsong. Lainlah kalau pelok buku geografi tingkatan tiga. Bolih juga saya cerita berdegar-degar dengan kawan-kawan tentang asal-usul Gaban sambil tunjok peta dalam buku itu. Kalau saya tipu, bukan diorang tahu pon.

Biasanya saya akan peruntokkan 3 jam di perpustakaan itu. Dan dalam 3 jam itu saya akan dudok diam-diam di satu sudut. (Mana berani bising, Abang Pustakaan dok pusing setiap 5 minit). Saya juga tidak akan dapat memberi tumpuan pada buku yang saya baca tidak lebih dari 10 minit - ini hakikat. Saya gemar untok berselang seli dengan imiginasi saya. Contohnya kisah kucing dan tikos yang membuat sampan dari labu. Saya akan melihat gambar di dalam buku itu - membayangkan kucing dan tikus itu secara realiti. Dan kerap kali imiginasi saya ini akan saya selitkan logik dari pemerhatian saya. Secara logik - kucing dan tikus tak bolih memegang tukol dan paku lalu mereka menggunakan kuku dan gigi mereka yang tajam - menggigit dan mencakar labu sehingga menjadi bentok sampan. Bijak sunggoh kucing dan tikos itu. Produktif lagi inovatif. Tapi kali ini saya tidak menyimpan hasrat membina sampan dari labu - kerana bagi saya labu dibuat masak lemak lebih enak daripada dibuat sampan. Begitulah rutin harian saya sehinggalah suatu hari imiginasi saya kerap kali diganggu olih kemuncolan gadis genit itu. - bersambong.

Tuesday, July 13, 2010

Kartun sunggoh!

Suasana sunyi.

Seperti biasa, saya adalah orang pertama bangon pagi. Mencari suis televisyen lalu menonton siri karton di pagi hari. Ini sudah menjadi rutin dari kecil di hari minggu begini. Hari minggu wajib ada karton. Jika tidak, pasti hari tak ceria.

Sedang asyik menonton karton jepon yang entah-apa-tajok-saya-tak-hingat, kedengaran bunyi pintu tandas dikuak. Aiseh, hasrat untok menunaikan hajat ditanggoh dahulu. Kemudian bunyi efek air menghempas-hempas lantai kedengaran. Saya menjadi kurang kusyuk untok menonton karton. Namon itu semua tidak lama. 5 minit kemudian pintu bilik air berkuak lagi. Sudah siap mandi gamaknya.

Mata kembali tertumpu ke arah kotak televisyen. Saya tergelak kecil. Ada ke patot hero mengambil masa sehingga 2-3 minit membuat gaya untok bertukar rupa menjadi superhero. Cilaka betol. Getus hati kecil saya. Perot sudah memulas-mulas tapi saya tahan sebab mahu tengok apa kesudahan karton ini. Tiba-tiba tersembol kepala Amad dari pintu bilik. Saya terkejot kecil.

"Awal bangon?" sapa Amad.

Saya senyum saja. Pernapasan diatur kembali. Malas nak layan. Macam tak kenal perangai saya ni.

Amad keluar dari bilek dan mengadap cermin. Baju ditarik-tarik agar kelihatan kemas dan rambut disisir rapi belah tepi. Saya menjeling pakai ekor mata.

"Cantik-cantik nak pergi mana, bro?" soalan standard seorang genius yang penoh perasaan ingin tahu yang tinggi.

Kepala Amad ditundok-tundok sikit melihat cermin. Kemudian menjawab, "Giant"

"Cari apa?"

"Nobita"

Saya ternganga. Nobita? Kat Giant? Mata maseh tertumpo di kotak televisyen...

....
...
..

SWOOSH! Satu spelet saya kenakan pada dahi beliau. Pagi-pagi camni lagi mahu buat lawak. Saya bergegas ke bilik air tanpa pedulikan Amad lagi - tuntotan perot harus dilayan.

Tuesday, June 29, 2010

Amokan Amad



Hari mendong - hujan mencurah-curah. Saya yang kebasahan bergegas membuka pintu rumah. Balik dari memburoh dalam keadaan basah memang sesuatu yang tidak saya gemar. Ia membantotkan hasrat saya untok lepak minom-minom di kedai mamak. Lebih enak jika layan kopi di rumah saja.

Ketika menuju ke bilek saya, saya ternampak Amad. Dudok bersila. Muka sangat ketat - seakan ada sesuatu yang sedang panas di dalam hatinya. Saya yang mula berasa gerun cuba membuka pintu bilek dengan cepat tetapi gagal. Masa-masa macam ini pula tombol pintu ini terasa ketat. Saya mula resah.

"Aih...awal balek?", tegur Amad. Saya lemparkan senyuman - kontrol perasaan takot dan teros masok ke bilek.

Saya sudah lama berkenalan dengan Amad. Kalau beliau marah, sila jangan tegur. Mencari nahas namanya. Pernah sekali dia mengamok dengan awek dia, henpon N90 dia baling ke dinding. Mujorlah saya sempat melompat bak gaya Gianluigi Buffon dan menyelamatkan henpon itu sebelom menyembam dinding. Memang gila Amad ni. Padahal gadoh pasal awek tu pakai selipar - tak pakai kasot pergi kenduri kahwin je.

Itu belom lagi kes rokok hilang sebatang. Habes bersepah bilek. Siap gaya CSI mencari bahan bukti lagi hanya kerana sebatang rokok. Kawan-kawan pula menjadi bahan caci maki kerana rokok itu. Sudah macam gian ganja la pula. Mahat yang selalu menjadi pendamai juga tewas dengan perangai Amad. Tak sempat menegur - beratur panjang cacian cek-in masok telinga. Sikit saja lagi nak kena Ong-Bak. Padahal rokok sebatang itu terselit celah telinga dia. Memang macam sial.

Tapi petang ini, saya tidak tahu kes apa. Saya pergi mandi. Di dalam bilek air kedengaran amok Amad.

"Sial punya perempuan. Kau ingat kau baek sangat? Bla...bla...bla..." Dari bilek air terdengar makian dia.

Saya sudah mula risau. Mandi laju-laju - salin baju - bergegas keluar bilek. Saya nampak Amad terdudok memelok lutot, tangan memegang erat henset. Air mata mengaler tapi beliau lap cepat-cepat sejurus ternampak saya. Melihat Amad dalam kesedihan membuatkan saya menjadi sayu. Dengan perlahan saya dudok sebelah dia.

"Kau ada masalah ke? Ceritalah kat aku. Mana tahu aku bolih tolong." cobaan saya untok menenangkan dia. Saya adalah bekas Pembimbing Rakan Sebaya masa di sekolah dulu, ok.

"Perempuan cilaka ni. Sanggop tinggalkan mak sebab sayangkan laki orang." luahan Amad.
"Dia ingat senang ke mak nak besarkan dia. Pakai baju, makan minom, sekolah - dia bukan orang senang pon" sambung Amad lagi.

Saya pon turot menyirap sama. "Cilaka...perempuan mana, Amad?!"


"Tu, yang pakai baju warna merah tu." jari telunjoknya menunjok ke arah kotak televisyen.

Memang cilaka. Satu sepakan volley saya kenakan pada belakang kepala Amad. Tengok TV pon janganlah sampai nak emosi macam tu sekali!

Tuesday, June 22, 2010

Kapitkan Tanganmu, Goyangkan Pinggulmu!

Tolong jangan jeles dengan saya. Shakira sudah bersedia untok berduet dengan saya. Maafkan saya Diana Danielle. Bukan niat untok curang. Kahkahkah!





Anda bagaimana? Berani berduet bersama saya? Kahkahkah!

Wednesday, May 12, 2010

Sila Temuramah Saya!

Saya tetiba tergedik dengan benda alah ini. Tolong jangan burok sangka. Saya cuma mencoba praktis untok menjawab soalan-soalan wartawan yang suka terjah-terjah apabila terkenal nanti. Maklomlah, kekaseh gelap Di. Siapa Di? Diana Danielle. Kahkahkah!

Tolong rujuk hompej ini:

http://formspring.me/hanggokan

P/S: Gediks...gediks...

Thursday, May 6, 2010

Hari Hol!


Besok adalah hari cuti bagi rakyat Pahang dan Johor. Saya amat jeles dengan penduduk Pahang dan Johor. Biarpon saya adalah warganegeri Pahang jati yang lahir di Kuantan pada tahon 1983, tetapi saya gagal menuntot Hari Hol ini dari majikan saya. Biarpon hati ini luka pedih jiwa berdarah kerana gagal menuntot Hari Hol, saya redha. Ini lumrah dunia pemburoh seperti saya yang merantau di dunia Selangor. Lumrah dunia kapitalis yang mana sang majikan mengerah tenaga pemburoh murahan bagi mencipta keuntungan maksima.

Saya pada mulanya ingin terus menuntot hak saya sebagai warga Pahang untok turot bersama meraikan hari hol ini namon hasrat itu terbantot. Ini kerana saya sendiri kurang pasti apakah maksud Hari Hol itu. Kekantoian daya ilmu pengetahuan saya ini pasti akan membuatkan majikan saya tergelak berguling-guling kelak. Pasti di benak fikiran mereka kejadah apa Hari Hol itu beriya dituntot jika saya sendiri tidak tahu tujuannya. Setelah agak lama termenung, saya nekad untok merungkai misteri ini. Lalu menapaklah saya bagi mencari sebuah jawapan.

Demi untok tidak dijadikan bahan lawak murahan, saya telah pergi ke kedai mini Bismi dan mencari kamus dewan namon gagal. Menurut macha di situ, hanya bahan bacaan majalah Hai, Pop, Kau dan Aku Kecundang Akhirnya dan sewaktu dengannya sahaja yang ada dijual. Lagi sekali aku kecewa kerana layanan mesra Macha itu yang sebelomnya mengatakan semua ada - bateri ada, lampu picit ada, ubat nyamuk ada, semua ada - adalah dusta semata-mata. Kamos Dewan yang begitu penting pon tiada - hati kecil memaki hamon sambil mata terus ralit membaca isi kandungan buku berjudol 'Permata Yang Hilang'.

Akibat terlalu lama membelek buku itu, Macha telah menepok-nepok bulu ayamnya di buku-buku yang tersuson dan tidak berhabuk itu. Fahamlah saya maksudnya lalu saya meletak kembali buku itu dan bernekad untok ke perpustakaan terdekat. Tetapi lagi sekali hasrat saya terbantut kerana saya tidak tahu lokasi perpustakaan di Selangor ini. Selangor begitu asing sekali bagi saya - saya ini anak jati Pahang. Menggaru kepala sebentar. Lalu saya terfikir untok ke kedai buku berdekatan. Saya memilih sebuah kedai buku bernama Popular untok menyelesaikan kemelut muara kasih saya ini.

Saya tersenyum puas apabila berjaya ketemu Kamos Dewan di Popular. Rasa gembira ini seperti berjumpa dengan Diana Danielle untok berdating di hari minggu yang indah. Betol-betol syok! Tanpa membuang masa, aku menyelak satu persatu kamus itu lalu ketemu maksud yang telah lama (2 jam setengah) bersarang di kepala hotak saya.

Kamus Dewan mendefinisikan bahawa Hol bermaksud kenduri arwah yang diadakan setahun sekali.

Kenduri arwah? Untok siapa? Mengapa pula hanya Pahang dan Johor sahaja? Semakin banyak persoalan yang timbul. Lalu saya terus menuju dekat Starbuck. Jangan burok sangka, dekat Starbuck tidak bermaksud di Starbuck. Saya cuma mahu mengakses internet dan bukan mahu menikmati secawan kopi yang berharga RM10 itu.

Setelah bertanya Pak Google, saya menepok dahi. Mengapa perlu ke Kedai Buku Popular dan Kedai Mini Bismi jika segalanya bolih ditanya pada Pak Google ini. Aduh, mungkin kaedah klasik sudah sebati di jiwa ini. Hati tergelak kecil. Usaha tangga kejayaan.

Saya tidak berpatah semangat lalu mencari info yang ada. Lalu terdapat satu lagi sumber mengatakan Pahang dan Johor meraikan Hari Hol kerana cuma kerabat di raja mereka yang dianugerahkan gelaran Sir olih British - lalu apabila sultan mangkat, negeri-negeri di bawah naungan sultan tersebut telah menjadikannya Hari Hol. Sumber ini tidak pasti kesahihannya. Saya mengurut-ngurut janggut sambil dahi berkerut.

Saya terus menyoal siasat Pak Google lalu mendapat lagi satu info yang mengatakan Hari Hol bertujuan membolehkan majlis tahlil dan bacaan Yasin diadakan untuk memperingati kerabat diraja negeri.


Lalu fahamlah saya apa itu Hari Hol. Bergegaslah saya menaip surat menuntot Hari Hol diumumkan sebagai cuti kepada majikan saya supaya saya juga dapat mensedekahkan doa tahlil dan bacaan Yassin kepada majikan saya. Kahkahkah!

p/s: Hol dengan Haul itu samakah?

Friday, March 12, 2010

Makluman Para Pembaca!



Melihat cuaca.
Kering, panas, membahang.
Peluh menitis - mengalir dari dahi.
Keluh-kesah, tuboh ini enggan dudok diam.

Melihat cuaca.
Angin bertiup dingin.
Awan kembali mendong.
Hujan turun setitik-setitik menjadi lebat.
Lega dan nyaman - satu kenikmatan.

Itu antara punca saya rasa saya ingin berhenti menulis buat sementara waktu - cuaca. Kepada pembaca-pembaca saya, sila jangan halang hajat saya. Bukan hajat saya untok dilunaskan di tandas, tapi hajat saya mahu berhenti menulis buat sementara waktu. Saya sudah tekad. Jangan pujok saya. Dan jangan nyanyikan lagu relaku pujok - spider.

Tolong maafkan saya. Mungkin ada yang terasa dan terguris hati dengan tindakan saya ini. Mungkin sudah sampai masanya untok saya berubah. Mencari kepuasan dalam diri yang hakiki bagi menikmati sepenohnya hidop ini. Olih itu kepada peminat-peminat blog saya, tolong jangan meratapi ketiadaan tulisan saya. Nikmatilah hidop ini, lihatlah alam dan bertanyalah mengapa dunia ini bercuaca aneh begini.


Pernah sang teman karib bertanya;
"Mengapakah kau mahu berhenti menulis? Sedangkan aku dan pembaca-pembaca blogmu terhibur dengan setiap penulisanmu?"

Lalu saya menjawab;
"Sahabatku, di skrin laptop ini tidak bolih dicakar dengan pena atau pensel. Seharusnya aku berhenti menulis. Aku perlu bergiat aktif menaip pula." - jawapan saya sambil muka menunjukkan ekspresi penuh kejujuran.

KEDISH! Satu tumbukan tepat ke meja olih sang teman karib ini tanda dia menyesal. Menyesal bertanya. Menyesal bertanya, sesat jalan. KAHKAHKAH!

TQ!

Wednesday, February 24, 2010

Tenong sambil sengih-sengih

Dudok menunggu habisnya masa bekerja adalah saat paling membosankan. Mata sudah layu, kepala sudah tersenggok-senggok menandanya betapa tenaga yang tersimpan dalam susok tuboh badan ini di tahap paling rendah. Perlu dicas secepat mungkin.

Budak-budak opis kesemuanya awal-awal lagi sudah keluar. Alasan kononnya ada tugas di tapak projek. Cis! Melarikan diri. Bukan rajin pon. Maaf, hati saya memang penoh syak wasangka kepada tahap kerajinan mereka. Usah ditanya mengapa.

Dan tiba-tiba saya mendapat panggilan talipon. Suara garau sang pemanggil tidak saya kenali. Katanya dia dari syarikat si polan polan telah menghantar satu dokumen ke emel saya. Haros bertindak segera dan mahu respon secepat mungkin. Panggilan tamat.

Aih, saya buka emel sambil mata berair. Mulut menguap besar tanda oksigen di otak tidak mencukopi. Kepala di geleng-geleng dan badan mengeliat panjang supaya mendapat kesegaran optima. Rasa macam mahu bertaichi bagi menghilangkan ngantok ini. Tapi setelah difikir-fikir...bila masa pula saya menuntot ilmu taichi ni?

Terus saja emel dibuka dan terpampang 33 mesej dalam peti masuk saya. Banyak betol! Dokumen apakah encik bersuara garau ini hantar? Lalu tanpa membuang masa, saya pon buka peti masuk.

Berderet deret emel...buka yang pertama. Dari Facebook. Sang gades manes bergetah mengomen gambar anda. Sila ikutan pautan di bawah. Saya klik. Facebook saya terpampang. Berdekah-dekah saya ketawa. Saya kena balas komen beliau. Ilham datang tanpa henti untok mengenakan balik sedas komen berapi kepada beliau.

Buka pula emel kedua. Dari Facebook. Sang Arjuna mengomen pada status anda. Sila ikutan pautan di bawah. Saya klik. Lagi saya ketawa berdekah-dekah. Ayat macam celaka. Saya kena balas komen ini, lagi sekali saya hantar komen dengan ayat pedas.

Buka pula emel ketiga. Juga dari Facebook. Perkara yang sama saya lakukan. Emel keempat juga begitu. Banyak sunggoh dari emel dari Facebook. Sehinggalah emel ke dua puloh enam.

Berbunyi 'Pop' pada Facebook saya. Alamak! Ada kawan mahu berchatting pula. Mengajak minom petang bersama. Meleser bagi melepaskan penat dan lelah setelah 8 jam memburoh. Saya setuju. Katanya pot situ ada gades pelayan cun. Saya ketawa berdekah-dekah. Perangai tak berubah padahal umur dah senja.

Tiba-tiba Bos datang melintas.

"Eh, lama benar kau downlod dokumen."
Alamak! Macam mana saya bolih terlupa.

Terus riak wajah saya bertukar serius.
Sambil jawab, "sikit lagi bos."

"POP! POP!" bunyi di paparan Facebook saya.

"Uih, Dasat bunyi download dokumen sekarang ya" kata bos. Beliau ambil fail atas meja saya sambil berlalu pergi.

Aiseh. Bos buat-buat tak tahu jek la kata hati kecil saya sambil membuat aksi taichi tanda bosan.

Friday, February 12, 2010

Tempat Keramat

Hari ini saya telah pergi ke satu tempat yang sangat menggamit nostalgia. Nostalgia dari saya kecil sehinggalah saya dewasa. Nostalgia dari saya belom akil baligh sehinggalah saya terlebih baligh. Nostalgia jatoh bangunnya saya. Dan di tempat itulah saya jumpa cinta saya.

Tidak lama dahulo tempat ini menghimpunkan seluroh warga desa dan kota dari segenap pelusok Pahang. Sewaktu saya menetap di Bentong, ayahanda saya kerap ke Kuantan bersama kawan-kawannya untok ke tempat keramat ini. Katanya tempat itu terlalu ngeri. Takot-takot saya tidak mampu mengadaptasi keadaan sekeliling dengan jiwa kerdil ini, maka ayahanda tidak bawa saya bersama. Ketika itu saya baru saja berumur 8 tahon dan hanya mengenali Mospeda dan He-Man. Olih itu, pada fikrah akal saya baeklah saya bermaen dengan kad bergambar karton kegilaan saya itu daripada melayan kerenah orang-orang tua. Itu lebih bersifat kebudak-budakan selaras dengan usia saya.

Kemudian, kami sekeluarga berpindah ke Kuantan. Waktu itu saya berumur 10 tahon. Pada waktu itulah ayahanda mengajak saya ke tempat keramat itu. Ayahanda kata sudah tiba masanya untok saya turot serta. Sudah bolih menghadapi tekanan dan dugaan. Sudah tahu baek dan burok. Saya berdebar. Saya tahu malam itu bakal mengubah perjalanan hidop saya. Detik yang tidak pernah saya terfikir langsong sebelom ini.

Adik beradik saya yang lain turot serta. Kami berempat menapak ke tempat keramat itu. Hati saya berdegop kencang. Pelbagai soalan menjelma dalam benak hotak geliga saya. Saya melihat adik dan abang-abang saya melangkah penoh berani menuju ke destinasi. Lantas mematikan segala syak wasangka yang bukan-bukan.

Setiba sahaja di tempat keramat itu, saya terpegun. Benarlah bak kata ayahanda. Sesiapa menjejakkan kaki ke tempat ini, pasti akan datang aura luar biasa. Saya benar-benar terpesona. Sepanjang malam itu, saya terpekik terlolong macam pesakit histeria.

Dengan kekuatan yang ada, saya memanggil, "Abduraimov! Abduraimov!". Beliau melemparkan senyuman dan mengangkat tangan. Saya tersengih lalu teros bercita-cita mahu menjadi pemain bola, bukan lagi Pekerja MPK bahagian sembur-sembur nyamok. Esoknya, suara saya persis Saleem. Nyanyi lagu 'Bukan ku tak sudi' sebijik macam kaset. Gila rock!

Kini 15 tahun sudah berlalu.


Sungguh sunyi sepi. Tiada lagi ragam manusia. Tiada lagi gegak gempita. Tiada lagi kekecohan itu. "Tiada lagi yang kuharapkan, tiada lagi yang ku impikan, biar aku sendiri tanpa dirimu" - muzik latar, Amy - Tiada Lagi. Wajib karaoke lagu ini.

Tempat ini punya sejarah yang unik. Dahulu penoh meriah. Dahulu penoh dengan ragam manusia. Dahulu penoh dengan gegak gempita. Ia betol-betol mengujakan saya. Tapi kini suasananya berubah.

Di sinilah tempat berkumpolnya wartawan sukan, jejaka-jejaka kacak, budak-budak sekolah, gades-gades mungil, pakcik-pakcik tak sedar diri, Hasbullah Awang, Budak PBSM angkat stretcher, budak Milo kutip bola, penjual burger seringgit dan pemain gendang dan kompang yang bersuara sumbang menyanyi - mungkin kecewa kerana tidak layak masok AF.

Dahulo tempat ini berbaris umat manusia berpusu-pusu masok. Biarpon tempat dudok macam haram. Langsung tidak empok. Tempat dudok diperbuat dari batu. Dudok atas batu, bontot rasa sejok. Namon ia tidak menghalang mereka ini semua. Bontot yang sejuk dipanaskan dengan semangat membara. Tanpa mengira warna kulit, agama, bangsa, saiz, pandangan politik, tahap IQ dan pendapatan bulanan, mereka bersatu dan berpadu-padu memberi sokongan dengan niat yang sama; ingin melihat pasukan Pahang menang.

Sekarang apa sudah jadi dengan Stadium Darulmakmur ini. Suram dan muram. Apekah patot di runtohkan sebahagian bumbungnya supaya dapat menjadi tumpuan orang ramai seperti mana stadium di Terengganu? Sekurang-kurangnya bolih menjadi salah satu simbol bangunan bersejarah. Pelancong-pelancong asing bolih datang melawat dan melihat salah satu stadium yang punya deretan kedai di sekelilingnya, yang punya enam tiang lampu dan yang punya tempat dudok penonton zaman Flinstone. Jika idea ini bernas, saya wajib menubohkan syarikat agen pelancongan secepat mungkin.

Malam minggu, lampu stadium menyala. Namon saya tidak nampak gelagat manusia. Maseh terdengar pekikan mamat fanatik bola. Eh, atau itu suara jurulatih? Saya gagal mencari jawapannya kerana saya malas nak masok ke dalam. Kereta yang parkir cuma beberapa kerat. Bolih dikira dengan jari kaki saja. Lantas saya berlalu pergi.

Esok paginya, saya melalui lagi tempat ini. Parkir stadium penoh dengan khemah. Di sisi jalan bersusun kereta berhenti. Khemah-khemah yang terpasang bertulis, 'PASAR TANI'. Pasar Tani? Saya tersenyum lalu aura itu datang kembali. Aura yang selama ini terpendam hampir 15 tahun. Aura untok berpadu-padu. Saya teruja untok bersama makcik-makcik untok membeli sayor di stadium. Ini betol-betol 'rare'!

Monday, February 8, 2010

Kental atau kenyal?

Minggu lepas berlangsungnya majlis perkahwinan abang saya. Di tengah-tengah kotaraya. Olih kerana itu, tiada gotong-royong memasak. Semuanya sedia terhidang olih pihak katering. Namon aktiviti tradisi seperti bersanding maseh ada.

"Kacak juga pengapit". Mungkin mereka sangka saya tak dengar tapi mana-mana ayat pujian yang keluar dari mana-mana mulut seorang gades manes dan bergetah pantas dikesan olih telinga ini. Tetapi anehnya, sebarang ayat nasehat yang berupa unsur-unsur kebaikan terkeluar biarpon dari Bunga Cinta Lestari, tetiba telinga saya menjadi tuli. Ini memang kelebihan saya, tolong jangan raguinya. Olih kerana ayat pujian tadi, bibir saya tersenget-senget menahan senyuman kerana perasaan bangga perlu dikawal agar muka macho terus terpampang.

Gades tersebut mengambil gambar pasangan pengantin. Mungkin sebagai bukti CSI kepada kawan-kawannya yang beliau telah berjaya datang ke majlis perkahwinan Abang saya biarpon majlis ini tak sehebat majlis perbandaran kuantan. Gades itu berlalu dan menuju ke meja santapan bersama sahabatnya tadi menyertai sepupu saya yang tengah lahap mentekedarah tanpa pedulikan suasana sekeliling.

Tepung tawar dan renjis-renjis berjalan. Keadaan menjadi hangat dan meriah. Saya turun dari pentas pelamin setelah puas mengipas raja sehari. Peloh diketiak pula sudah bertakung. Saya memerlukan air lantas saya menuju ke meja makan. Perut berkonsert metal dari tadi. Mungkin air ini patot berulamkan nasi minyak. Dengan sopan saya mencedok satu per satu lauk yang ada. Tanpa disangka, 2 pinggan juga saya bantaikan. Gades manes tadi, yang berbaju kurung merah hati dan bertudung Yuna bangun dari mejanya. Namun sempat jua dia menoleh saya disini. Lantas ketika itu berdendanglah suara karaoke dari Aris Ariwatan, "Namun sempat jua kau menoleh...ku disini" -Lamunan Terhenti.

Aih, celaka. Dari mana pula datang muzik latarbelakang ini?

Gades itu tersenyum. Saya ternganga. Cuba saya membalas senyumannya sambil mengenyit mata tetapi hati gusar. Hati berdebar. Hati kembang kecut. Takot-takot jika ayahanda dan bonda gadis tersebut ada bersama. Bolih jadi parang tercacak di kepala saya. Baru betol-betol CSI.

Tak lama kemudian, datang sepupu saya. Membisikkan sesuatu kepada saya. Lantas dia tergelak kecil. Mengade-ngade.

..............

Ketika dah waktu ini, peluh baru sahaja menitis dari dahi. Nafas saya tercungap-cungap. Jantong berdegup kencang. Jangan burok sangka, jantung yang berdegup kencang ini bukan kerana saya dipanah asmara atau dilamar Jessica Alba. Saya berjoging. Ini semua kerana gara-gara sepupu saya yang berkata gades itu sukakan jejaka berperut kental. Celaka!

p/s: saya berjoging bukan kerana awek tersebut tetapi kerana perut saya. TQ.

Tuesday, January 12, 2010

Kalau

Kalau lah betol punggok rindukan bulan,
Kalau lah benar menunggu kucing itu bertandok,
Kalau lah dapat menduga kail panjang sejengkal,
Kalau lah pasti sapi akan beri susu punya nama.

Kalau lah aku tidak buat ini...
pasti aku akan...

Kalau lah dia maseh di sini...
pasti dia akan...

Kalau lah ia tidak terjadi...
pasti ia tidak akan...

Kalau lah...
Tolong jangan guna perkataan ini.
Ia membuat anda jaoh berangan.
Ia adalah lambang penyesalan.

Cerialah!

Search This Blog