Total Pageviews

Showing posts with label Sedut Oksigen. Show all posts
Showing posts with label Sedut Oksigen. Show all posts

Saturday, July 23, 2011

Geng-Dua-Puloh-Lapan


Ya, dua hari lepas.
Dua hari lepas.
Dua-puloh-dua Juli.
Genap sudah dua puloh lapan tahon gua sedot gas oksigen di muka bumi.
Dua puloh lapan tahon, gas-gas lain juga turot sama gua dengan tak sengaja sedot.
Tiada majelis meriah.
Tiada sambutan gilang gemilang.
Tiada hadiah bertimbon-timbon.
Cuma berhadiahkan angka dua puloh lapan.
Harapnya tahon ini gua lebih berbuat baek untok dunia.
Supaya dihadiahkan satu lagi hari laher tahon depan.
Untok disambut berdua.
Kahkahkah!

Sunday, April 24, 2011

Efek Jangka Masa Panjang

Saya berlari tercungap-cungap. Petang tapi maseh panas. Matahari memancar garang. Sudah tiga hari cuaca panas di Terengganu ini. Peloh masam mula membasahi ketiak.

Pagi tadi gua ada baca akhbar. Kecoh. Betol-betol kecoh. Nasi Lemak diharamkan dijual di sekolah. Kunonnya akan mengakibatkan obesiti di kalangan pelajar. Saya tergamam. Hidung yang mancong sedari tadi mula kembang kempis! Terus saya nekad nak berjoging tiap-tiap petang.

Ya, saya tak bolih mudah mengalah. Saya teros berjoging. Ini penting. Ini tekad saya! - getus hati kecil. Peloh yang mengalir dari dahi ke pipi dibiarkan. Sambil berjoging, sambil saya terkenang kesah-kesah lalu di zaman muda.

*Blink Blink*

Saya tiap-tiap hari makan nasi lemak waktu ni. Dari sekecil-kecil cili api sehinggalah tamat zaman persekolahan, saya makan nasi lemak. (Masok U, dah tak layan nasi lemak sebab selalu sengkek). Bolih kata makanan ruji lah. Nasi lemak dan saya ibarat kawan baek. Di mana ada nasi lemak, di situ ada saya. Tapi kini -

Ketol-ketol otot dah tenggelam. Otak pon dah macam tak berapa nak betol. Betol-betol efek jangka masa panjang, der! Bahana nasi lemak. Bahaya gua cakap lu. Gua setuju sangatlah kerajaan haramkan nasi lemak ni. Kahkahkah!

Monday, October 25, 2010

Tempat Rahsia

Satu tengahari yang hening. Saya berada di kampong sedang kusyuk menonton Asarichan di Astro Ceria. Bonda yang muncol entah dari mane, meminta saya menjempot Ijat dari sekolah. Saya menggeliat panjang sebelom bersetuju.

Pukol satu tepat saya bergerak dari rumah - memandu kancil racing - sangatlah bernostalgia. Kancil Racing inilah yang pertama sekali saya buat drift-kona kiri-enjin mati masa muda-muda dulu. Ditambah pula dengan ekjos besor bunyi gempak cam motobot telah membuatkan pendudok Batu Pahat dan warga KUiTTHO respek dengan kancil ini. Entahlah sama ada mereka betol-betol respek atau memaki. Sedang syok mengelamun, saya tersengih menampakkan gigi putih berseri sorang-sorang sambil memandu. Maseh kukoh rupanya kereta ni - kata hati kecil sambil ketuk-ketuk dashboard.

Saya pakir betol-betol depan sekolah Ijat. Ijat maseh tidak kelihatan. Tidaklah saya tahu mana satu Ijat. Semua budak-budak sekolah kelihatan sama. Sepesyen semua - rambut pendek belah tepi - baju putih, seluar biru - kasut kusam tak berapa nak putih. Saya berpendapat lebih molek jika saya menunggu saja di dalam kereta. Barangkali Ijat akan segera datang setelah melihat kereta sporty yang parkir depan pintu pagar ini.

Nasib saya agak malang kerana kereta ini telah ditamatkan perkhidmatan radionya. Olih itu terpaksalah saya bernyanyi kecil bagi menghiburkan hati. Mulanya lagu sentimental, Ungu - Cinta Dalam Hati. Kemudian saya shuffle ke lagu agak catchy, Meet Uncle Hussein - Lagu Untukmu. Setelah 10 minit Ijat tak muncol-muncol, saya sekali lagi tukar lagu, kali ini lagu rancak; Stacy- Jahat. Kali ini kepala saya berjoget-joget bagi menghilangkan rasa ngantok.

Habis saja sessi karaoke dalam kereta, Ijat maseh tak muncol-muncol. Saya dah mula resah. Lalu saya keluar dari kereta sambil berdiri mencekak pinggang depan pagar. Kepala dihulur panjang terjengok-jengok ke dalam mencari Ijat. Tiada pula kelibat dia. Saya mengambil keputusan untok menunggu saja dia di situ. Rimas juga tengahari berdiri tegak depan pintu pagar semacam penjaga gawang ni. Tidak lama selepas itu, Ijat berjalan melintasi saya sambil melaung-laung ke rakannya. Aih? Dia tak nampak saya agaknya. Lalu satu pukulan jitu dan mantap saya kenakan pada belakang kepalanya.

"Aduh! Lor...Ayoh did ade sini? Lame doh tunggu?" Dialog ganu pon bermula.

Saya sengih saja. Malas nak jawab. Dengan pakaian gaya CEO jatoh muflis, Ijat berlari-lari mengambil beg sekolahnya dan kembali menuju ke kereta.

"Bakpe lambak ngat kluor?" saya mula bertanya sambil menghidopkan enjin kereta. Bunyi deruman kereta bak F1 kedengaran. Sengaja saya tekan minyak sepam dua kasi asap berderu keluar. Baru nampak kool.

"Ijat dok tempak rahsie tadi" Kata ijat seakan berbisik.

"Rahsie mende plop? Kakne tempak rahsia tu?" Tanya saya dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak.

"Kak situ" kata Ijat sambil menundingkan jari telunjoknya ke satu arah.

"Doh mende yang rahsia sangak?" Saya bertanya lagi.

"Ye aaa...Ijat dengang saing2 Ijat je hok tau tempak tu." Kata Ijat dengan bermuka serius sambil menyedot minuman yang dah tinggal biji-biji air batu.

"Berapa orang saing Ijat hok tau?"

"31. Campor Ijat"

BOWH! Lalu saya teros memecot kereta membelah kesunyian tengahari.

Tuesday, May 4, 2010

Mari Kita Berkenangan.

Pernahkah anda terfikir...
Pada tarikh ini, dua puloh tahon lalu.
Apakah yang sedang anda lakukan?

Ketika itu,
Aku cuma seorang anak kecil yang belom akil baligh.
Baru mengecapi nekmat menjadi seorang kanak-kanak.
Yang baru sahaja menerjah masok ke alam persekolahan.
Riang ria, berlari bergembira, bermain setiap masa.
Tidak pernah risau akan hal-hal dunia yang rumit.
Anda pula bagaimana?

Pernahkah anda terfikir...
Pada tarikh ini, lima belas tahon lalu.
Apakah yang sedang anda lakukan?

Ketika itu,
Aku mula memikirkan masa depan dan cita-cita.
Resah dengan peperiksaan yang akan menjelma.
Namon maseh ada masa untok bermain dan bergembira.
Lalu membuatkan aku lupa sejenak hal yang serius.
Dan terus menikmati dunia kanak-kanak.
Anda pula bagaimana?

Pernahkah anda terfikir...
Pada tarikh ini, sepuloh tahon lalu.
Apakah yang sedang anda lakukan?

Ketika itu,
Aku baru menikmati dunia remaja.
Baru mengenali bezanya gades mungil dengan jejaka perkasa.
Ilmu yang dituntot mula memenuhi dada.
Perasaan ingin tahu dan persoalan timbul bertimpa-timpa.
Baru aku tahu dunia ini maseh banyak yang perlu diteroka.
Anda pula bagaimana?

Pernahkah anda terfikir...
Pada tarikh ini, lima tahon lalu.
Apakah yang sedang anda lakukan?

Aku sedang berjuang sebagai mahasiswa.
Biarpon tewas berkali-kali dengan ujian namon akhirnya berjaya.
Dunia yang mengenalkan aku kepada dunia berdikari.
Cuma berbagai persoalan menjadi tanda tanya.
Aku kerap kali bertanya pada sumber yang ada,
Kerap kali perasaan ingin tahu dibiar begitu saja.
Mengapa dunia mahasiswa di Malaysia tidak seperti yang aku sangka.
Anda pula bagaimana?

Hari ini pada tarikh ini...
Apa pula yang sedang anda lakukan?

Aku sedang penat memburoh.
Sambil terkenang indahnya hidop anak-anak kecil.
Huh~!

Wednesday, March 31, 2010

Hambek Kau!

Pada minggu lepas, saya berniat untok berjogging di sebuah tasek di Kuantan. Tasek ini sangat meriah pada waktu petang. Pada hemat saya, berjoging di waktu petang dapat menghilangkan gangguan emosi dan ribot taufan yang melanda dalam hotak saya akibat tekanan kerja. Dengan pemandangan yang indah lagi permai di selit dengan bunga-bunga mekar subur di taman larangan, saya amat bernafsu untok berjoging pada petang itu. Olih itu, bersiap siagalah saya untok berjogging.

Ketika saya sedang asyik mengikat tali kasot, muncol seketol tuboh entah dari mana datangnya berdiri di depan saya. Terkejot saya sehingga tercangkong. Ingatkan toyol manelah yang muncol. Rupa-rupanya anak saudara saya yang berumor 7 tahon, Ijat sedang memerhatikan saya.

"Ayoh Did nak pergi mana?" tanya Ijat. Dia ni memang manja dengan saya dan membahasakan saya dengan panggilan Ayoh Did.

"Nak Jogging. Nak ikot?" saya pelawa.
"Nak!" jawab Ijat ringkas lalu teros sahaja menyarung kasotnya.

Kami berjoging bersama. Saya terpaksa memperlahankan langkah bagi memberi peluang kepada Ijat untok berlari seiring dengan saya. Di tasek ini sudah punya trek untok berjoging, maka dengan itu dapatlah kami berjoging dengan selesa. Kami terus berjoging dengan bersunggoh-sunggoh.

Tak berapa jauh di hadapan kelihatan seorang gades berjoging menuju kami. Selisih dengan gades bergetah itu, saya senyum sambil mengangkat-ngangkat kening. Gades tu buat-buat tak nampak. Malulah tu! Ijat yang mengekor di belakang saya tersengih sambil melambai-lambai tangan. Gades tu senyum dan membalas dengan melambai-lambai tangannya. Cis! Ini sudah lawan tokey. Siapalah yang mengajar dia ni?

Kami teruskan larian kami dengan menyusur trek yang telah tersedia itu. Sedang asyik kami berlari, kami terjumpa dengan seorang brader yang amat sihat tuboh badannya. Bentok tuboh brader ini tidak ubah seperti Bob Ku2. Dengan semangat kental, beliau tetap berlari. Saya respek dengan brader seperti ini. Ada keinginan untok berubah.

Brader ini berlari perlahan. Kami yang mengikut rapat di belakang terpaksa memintasnya. Kami memintas beliau tanpa memberi sebarang signal mahupon memberi salam. Kira-kira sepuloh langkah di hadapan, Ijat mengajukan pertanyaan.

"Ayoh Did, kenapa pakcik tu besor sangat?" Tanya Ijat dengan muka berkerut. Budak-budak memang penoh dengan perasaan ingin tahu. Saya pon menjawab dengan penoh berhemat...

" Sebab masa dia besar ijat, dia malas jogging. Makan, tidor je rajin" jawab saya sambil mengerling ke belakang risau kalau-kalau brader tadi terdengar.

"Ooo...maknanya kakak tadi tu slim sebab selalu berjoging la ye?" tanya Ijat lagi.
Saya tersenyum sambil memandang Ijat. Pandai membuat kesimpulan budak Ijat ni.

Saya pon cuba berborak lagi dengan Ijat. Kali ini saya mengajukan pertanyaan sambil tercungap-cungap berlari.
"Ijat sayang Ayoh Did tak?" kali ini saya memperlahankan sedikit larian.
"Sayang!" pendek saja jawapan Ijat.

Dua tiga tapak kemudian saya mengajukan lagi pertanyaan.
"Kalau Ayoh Did jadi gemok macam pakcik tadi tu, Ijat sayang Ayoh Did tak?"
Saya mengajukan pertanyaan ngade-ngade sebab dah tiada topik nak berborak.

"Ayoh Did ingat Ayoh Did kurus ke sekarang nih?" sambil berlari laju ke hadapan dengan tergelak-gelak.

Cis! Bertuah punya budak. Siap! 5 Round aku berjogging!

Thursday, March 18, 2010

Beg Plastik



Hari ini saya membeli nasi bungkus. Nasi ini saya letak ayam goreng, kuah kari, beberapa urat ulam dan secukup rasa sambal belacan. Saya serahkan kepada gades yang tidak seberapa cun tapi genit dan mengiurkan untuk dibungkus dengan kertas berwarna coklat. Lalu dibungkus pula dengan beg plastik berwarna merah. Saya membayar dan beredar namun sempat kembali menoleh dan menjeling kepada gades genit itu, nasi bungkus saya dan dua nasi bungkus dia lebih kurang saiznya. Saya tersenyum dan beredar.

Saya singgah pula ke gerai minuman. Di sini ada menjual air buah. Air mangga ada. Air tembikai ada. Air Honey Dew (bahasa melayunya apa?) pon ada. Saya memesan air mangga untok dibungkos. Makcik itu membungkos air mangga saya dengan plastik putih ikat tepi seperti biasa. Makcik ini sudah paham dengan kehendak pelanggan tetapnya ini. Kemudian dia meletakkan penyedut minuman. Saya tidak gemar ikat penoh kerana makcik ini pasti akan membungkos pula dengan plastik merah untok memudahkan saya membawa minuman yang dibeli. RM1. Saya bayar kepadanya dan terus menapak menuju ke rumah.

Saya kembali ke rumah. Perot sudah menggigil dengan tahap getaran 4 skala richter. Saya pantas menuju ke dapor bagi mendapatkan pinggan mangkok serta mug kesukaan saya. Kembali ke ruang tamu dan dudok bersila di depan televisyen. Hidop seorang bujang memang begini. Peneman untok bersantap adalah kotak televisyen. Saya sangat gemar jika peneman saya ini bercerita tentang kisah-kisah masakan ketika saya bersantap. Ini secara tidak langsung akan menambahkan selera makan saya.

Saya membaca doa makan sambil mata tidak berkedip melihat chef itu membebel-bebel dalam kotak televisyan. Maaf, saya bukanlah seorang yang pandai memasak. Saya cuma berminat melihat masakan panas yang berasap-asap dan cara masakan itu dihidangkan. Cantik dan menyelerakan. Pabila daging dan rempah ratus dituangkan ke dalam kuali yang berisi minyak panas, maka terbitlah irama indah. Pantas membangkitkan nafsu berahi saya. Aroma nasi bungkos saya ini pula menikam kalbu bak seperti dalam kotak televisyen itu.

Ketika saya dibawah paras sedar, nasi bungkos ini telah habis ditelan. Saya enggan percaya bahawa diri ini mampu menghabiskan nasi bungkos itu. Kebiasaannya saya gagal puas dengan hanya satu nasi bungkos sahaja. Saya suspek saya telah dipukau atau diguna-guna. Namon saya cuma seorang diri dalam rumah ini. Peneman saya cuma sebuah kotak televisyen. Saya kembali waras setelah kesangsian saya ini langsong tidak berasas.

Saya mengemas sisa-sisa makanan dan membungkos ke dalam plastik merah yang saya dapat percuma ketika membeli nasi itu tadi. Pinggan dan mug diangkut bersama dan dibawa menuju ke dapor. Saya membuang plastik merah yang berisi sisa makanan itu ke dalam tong sampah. Saya merenung ke tong sampah itu. Rasa saya baru 3 hari lepas saya buang sampah dari tong ini. Tapi kini penoh. Penoh sehingga hampir melimpah keluar. Semuanya dipenuhi plastik-plastik. Plastik yang sukar dicerna di perot bumi sehingga menghasilkan pencemaran yang menjadi-jadi.


Saya merasa bersalah kerana saya adalah salah seorang penyumbang ketidakstabilan eko-sistem semulajadi planet ini. Saya rasa bersalah kepada penyu kerana telah membiarkan penyu tersalah anggap plastik itu adalah obor-obor makanannya. Padahal saya telah berjanji dengan diri ini akan menyelamatkan planet ini dari toksik-toksik plastik ini dahulo.

Saya membasoh tangan dan pinggan yang digunakan. Saya rasa mulai esok saya akan membawa pinggan dan mug saya sendiri ketika membeli belah nasi bungkos. Saya kembali tersenyum sambil terkenangkan nasi bungkos tanpa beg plastik gades genit itu. Tolong jangan burok sangka.

Wednesday, February 24, 2010

Tenong sambil sengih-sengih

Dudok menunggu habisnya masa bekerja adalah saat paling membosankan. Mata sudah layu, kepala sudah tersenggok-senggok menandanya betapa tenaga yang tersimpan dalam susok tuboh badan ini di tahap paling rendah. Perlu dicas secepat mungkin.

Budak-budak opis kesemuanya awal-awal lagi sudah keluar. Alasan kononnya ada tugas di tapak projek. Cis! Melarikan diri. Bukan rajin pon. Maaf, hati saya memang penoh syak wasangka kepada tahap kerajinan mereka. Usah ditanya mengapa.

Dan tiba-tiba saya mendapat panggilan talipon. Suara garau sang pemanggil tidak saya kenali. Katanya dia dari syarikat si polan polan telah menghantar satu dokumen ke emel saya. Haros bertindak segera dan mahu respon secepat mungkin. Panggilan tamat.

Aih, saya buka emel sambil mata berair. Mulut menguap besar tanda oksigen di otak tidak mencukopi. Kepala di geleng-geleng dan badan mengeliat panjang supaya mendapat kesegaran optima. Rasa macam mahu bertaichi bagi menghilangkan ngantok ini. Tapi setelah difikir-fikir...bila masa pula saya menuntot ilmu taichi ni?

Terus saja emel dibuka dan terpampang 33 mesej dalam peti masuk saya. Banyak betol! Dokumen apakah encik bersuara garau ini hantar? Lalu tanpa membuang masa, saya pon buka peti masuk.

Berderet deret emel...buka yang pertama. Dari Facebook. Sang gades manes bergetah mengomen gambar anda. Sila ikutan pautan di bawah. Saya klik. Facebook saya terpampang. Berdekah-dekah saya ketawa. Saya kena balas komen beliau. Ilham datang tanpa henti untok mengenakan balik sedas komen berapi kepada beliau.

Buka pula emel kedua. Dari Facebook. Sang Arjuna mengomen pada status anda. Sila ikutan pautan di bawah. Saya klik. Lagi saya ketawa berdekah-dekah. Ayat macam celaka. Saya kena balas komen ini, lagi sekali saya hantar komen dengan ayat pedas.

Buka pula emel ketiga. Juga dari Facebook. Perkara yang sama saya lakukan. Emel keempat juga begitu. Banyak sunggoh dari emel dari Facebook. Sehinggalah emel ke dua puloh enam.

Berbunyi 'Pop' pada Facebook saya. Alamak! Ada kawan mahu berchatting pula. Mengajak minom petang bersama. Meleser bagi melepaskan penat dan lelah setelah 8 jam memburoh. Saya setuju. Katanya pot situ ada gades pelayan cun. Saya ketawa berdekah-dekah. Perangai tak berubah padahal umur dah senja.

Tiba-tiba Bos datang melintas.

"Eh, lama benar kau downlod dokumen."
Alamak! Macam mana saya bolih terlupa.

Terus riak wajah saya bertukar serius.
Sambil jawab, "sikit lagi bos."

"POP! POP!" bunyi di paparan Facebook saya.

"Uih, Dasat bunyi download dokumen sekarang ya" kata bos. Beliau ambil fail atas meja saya sambil berlalu pergi.

Aiseh. Bos buat-buat tak tahu jek la kata hati kecil saya sambil membuat aksi taichi tanda bosan.

Monday, February 8, 2010

Kental atau kenyal?

Minggu lepas berlangsungnya majlis perkahwinan abang saya. Di tengah-tengah kotaraya. Olih kerana itu, tiada gotong-royong memasak. Semuanya sedia terhidang olih pihak katering. Namon aktiviti tradisi seperti bersanding maseh ada.

"Kacak juga pengapit". Mungkin mereka sangka saya tak dengar tapi mana-mana ayat pujian yang keluar dari mana-mana mulut seorang gades manes dan bergetah pantas dikesan olih telinga ini. Tetapi anehnya, sebarang ayat nasehat yang berupa unsur-unsur kebaikan terkeluar biarpon dari Bunga Cinta Lestari, tetiba telinga saya menjadi tuli. Ini memang kelebihan saya, tolong jangan raguinya. Olih kerana ayat pujian tadi, bibir saya tersenget-senget menahan senyuman kerana perasaan bangga perlu dikawal agar muka macho terus terpampang.

Gades tersebut mengambil gambar pasangan pengantin. Mungkin sebagai bukti CSI kepada kawan-kawannya yang beliau telah berjaya datang ke majlis perkahwinan Abang saya biarpon majlis ini tak sehebat majlis perbandaran kuantan. Gades itu berlalu dan menuju ke meja santapan bersama sahabatnya tadi menyertai sepupu saya yang tengah lahap mentekedarah tanpa pedulikan suasana sekeliling.

Tepung tawar dan renjis-renjis berjalan. Keadaan menjadi hangat dan meriah. Saya turun dari pentas pelamin setelah puas mengipas raja sehari. Peloh diketiak pula sudah bertakung. Saya memerlukan air lantas saya menuju ke meja makan. Perut berkonsert metal dari tadi. Mungkin air ini patot berulamkan nasi minyak. Dengan sopan saya mencedok satu per satu lauk yang ada. Tanpa disangka, 2 pinggan juga saya bantaikan. Gades manes tadi, yang berbaju kurung merah hati dan bertudung Yuna bangun dari mejanya. Namun sempat jua dia menoleh saya disini. Lantas ketika itu berdendanglah suara karaoke dari Aris Ariwatan, "Namun sempat jua kau menoleh...ku disini" -Lamunan Terhenti.

Aih, celaka. Dari mana pula datang muzik latarbelakang ini?

Gades itu tersenyum. Saya ternganga. Cuba saya membalas senyumannya sambil mengenyit mata tetapi hati gusar. Hati berdebar. Hati kembang kecut. Takot-takot jika ayahanda dan bonda gadis tersebut ada bersama. Bolih jadi parang tercacak di kepala saya. Baru betol-betol CSI.

Tak lama kemudian, datang sepupu saya. Membisikkan sesuatu kepada saya. Lantas dia tergelak kecil. Mengade-ngade.

..............

Ketika dah waktu ini, peluh baru sahaja menitis dari dahi. Nafas saya tercungap-cungap. Jantong berdegup kencang. Jangan burok sangka, jantung yang berdegup kencang ini bukan kerana saya dipanah asmara atau dilamar Jessica Alba. Saya berjoging. Ini semua kerana gara-gara sepupu saya yang berkata gades itu sukakan jejaka berperut kental. Celaka!

p/s: saya berjoging bukan kerana awek tersebut tetapi kerana perut saya. TQ.

Saturday, January 30, 2010

Mestikah

Mestikah ada yang laen?
Pabila saja cukop sifatnya,
Pabila saja cukop pekertinya,
Pabila saja cukop ilmunya.

Mestikah ada yang laen?
Saat kau perlukan bimbingannya,
Saat kau idamkan belaiannya,
Saat kau mimpikan ayu wajahnya.

Mestikah ada yang laen?
Karena dialah satu-satunya penenang hatimu.
Rela hidopnya susah demi kesenangan hidopmu.
Terima kaseh tak terhingga...
Untok ibumu.

p/s: khas untok kanak-kanak lelaki penjual kismis yang saya temui di gerai makan damansara. TQ!

Cerialah!

Wednesday, January 20, 2010

Misi hampir selesai!

Dahulu saya pernah bercita-cita menjadi pemain bolasepak. Zaman kanak-kanak saya hampir 1/3 masa diluangkan untok bermaen bolasepak. Malah zaman remaja saya juga dipenohi dengan aktiviti bermaen bolasepak. Olih itu tidak hairanlah jika kawan-kawan saya juga adalah dikalangan pemain bolasepak seperti Michael Owen, Wayne Rooney, Dimitar Berbatov, Nemanja Vidic dan orang paling otai, Ryan Giggs. Biarpon saya mengenali mereka, namon mereka tidaklah pula mengenali saya. Mungkin kerana saya pemalu orangnya.

Tetapi dikalangan keluarga dan saudara-saudara kandong saya, nama-nama seperti Jala, Azizol dan Azhar lebih kerap tersembor keluar. Bagi mereka, nama-nama ini telah berjaya menaikkan taraf permainan bolasepak Jalan Wong Ah Jang. Salah satu skill yang menjadi igauan saya ialah skill 'crossing' di belakang pintu gol yang mana sehingga kini maseh gagal saya kuasai. Olih itu saya disarankan mencontohi mereka. Biarpon saya mengagumi bakat mereka tetapi sehingga kini saya maseh belom berjaya berjumpa mereka. Saya harap dapat melihat mereka dalam Piala Dunia akan datang.

Dahulu saya cuma pemain bolasepak bagi sabuah kelab yang sangat kerdil. Babylon FC. Nama pon dah Baby...terserlah lah kekerdilan kelab ini. Biarpon kerdil saya sanggop bekerja keras dan membanting tulang ayam. Saya berpantang tidak akan berhenti bermain sehingga mencapai skill yang diingini. Kini satelah hampir sebulan saya menjalani latihan, saya telah mencipta nama di kelab-kelab gergasi.

Rembatan bak peluru M16 menuju tepat di sudut 90 darejah tiang gol. Dribble dengan tahap kelajuan keretapi KTM dengan bola melekat dikaki umpama ada gam UHU di boot Nike saya. Tandokan tajam sehingga bocor bola Jabulani. Serta bentesan keras yang saya yakin bolih menumbangkan Kane dan Bigshow. Dengan segala skill yang telah saya perolehi ini, saya juga percaya bahawa saya akan berjaya menjadi pemain yang disanjung tinggi.

Malah saya telah berjaya menggondol Piala Dunia dan kini tibalah masa saya untok bersara. Rasanya inilah nikmat yang pernah diperolehi oleh Zinadine Zidane, Diego Armando Maradona dan Ali Tahar. Mencipta nama dan kemasyhuran di tahap tertinggi kemudian berhenti sebelom jatoh menyembam ke bumi. Betol kena dengan tajok misi saya ini, 'Become A Legend'.

Pro Evolution Soccer 10.

Rasa saya sampai kiamat tak jumpa pemain Malaysia dalam game ini.

Tuesday, January 12, 2010

Kalau

Kalau lah betol punggok rindukan bulan,
Kalau lah benar menunggu kucing itu bertandok,
Kalau lah dapat menduga kail panjang sejengkal,
Kalau lah pasti sapi akan beri susu punya nama.

Kalau lah aku tidak buat ini...
pasti aku akan...

Kalau lah dia maseh di sini...
pasti dia akan...

Kalau lah ia tidak terjadi...
pasti ia tidak akan...

Kalau lah...
Tolong jangan guna perkataan ini.
Ia membuat anda jaoh berangan.
Ia adalah lambang penyesalan.

Cerialah!

Sunday, January 10, 2010

Ikut-ikut

"Did...jangan lupa bagi kad jemputan kahwin Abang Man pada kawan-kawan."
Itu pesanan terakhir bonda saya sebelom saya meletakkan telefon.

Apabila saya melehat saudara-saudara kandong saya berkahwin, saya rasa juga terdorong untok melakukan perkara sama. Dan dalam masa kurang sebulan, akan tinggal saya saorang yang maseh belom berkahwin dalam keluarga Haji Kadri. Apakah yang menghalang saya untok berkahwin? Sehingga kini maseh tiada jawapan yang pasti. Kerap kali ibu bapa saya menujukan soalan berbentok demikian kepada saya. Mungkin saya bolih memberi alasan saya maseh belom mempunyai pengganti Maya Karin. Tapi akhirnya pasti saya kena luku di kepala. Tetapi di dalam hati, saya sangat terpengaruh untok kahwin pada masa sekarang.

Saya maseh teringat pada zaman saya kecil dahulu. Kecil dan comel. Waktu itu sedang rancak dengan permainan Tamiya. Tamiya adalah permainan kereta yang digerakkan dengan motor berkuasa bateri AA dan bolih diubahsuai setiap komponen kereta tersebut. Permainan Tamiya ini menjadi kegilaan rakan-rakan taman perumahan saya. Jika melepak di bawah pokok mempelam, pasti terbit isu-isu Tamiya dari mulut-mulut samseng Taman Bukit Sekilau. Motor ini lajulah, Tayar itu kurang kenyallah, Kena tambah pemberatlah, Body kurang mantollah. Saya hanya mampu melopong ternganga sambil mulut penuh dengan buah mempelam.


Olih kerana saya kerap disemai dengan isu-isu Tamiya ini, maka dengan secara sengajanya saya telah terpengaroh. Saya telah membeli kereta Tamiya. Dan atas nasehat-nasehat tidak rasmi rakan-rakan, saya telah berjaya mengubahsuai kereta tersebut. Saya berbangga kerana saya telah berjaya menjadi mekanik muda yang berjaya memiliki kereta paling laju pada waktu itu. Pada sangka saya, pasti awek paling top di SRK Sultan Abdullah akan tergoda kerana saya memiliki kereta seumpama itu. Namun itu cuma angan-angan bodoh saya, kerana beliau cuma berminat dengan KRU dan 4u2c sahaja. Langsong tidak pandang saya mahupon kereta mantol saya itu. Mungkin silap saya kerana tidak lekatkan stiker muka Norman atau AC Mizal pada body kereta saya.

Apabila saya meningkat remaja, kekanda saya telah membeli CD permainan komputer buat pertama kalinya. Kotaknya gedabak besar tetapi di dalamnya cuma ada 2 CD dan ia berharga RM99. Waktu itu permainan komputer sangat mahal. Kebanyakan rakyat maseh belom celik IT. Oleh kerana itu, lanun-lanun cetak rompak belom berleluasa. Kekanda saya ini cuma mampu membeli yang original tanpa banyak pilihan. Saya merasa pelik mengapa kekanda saya ini sanggop menghabiskan duit membeli haramjadah ini. Namon fikiran saya pantas berubah. Melihat kekanda-kekanda saya kusyuk bermain membuatkan saya tergoda. Grafik cantik. Mudah dikawal. Bolih buat skill.

FIFA '96. Ketika itu Roberto Baggio menjadi idola saya. Bukan lagi Zulhamizan Zakaria. Sekelip mata permainan video ini menjadi kegilaan kami adik beradik. Siang malam kami bersengkang mata hanya semata-mata untok menjuarai Serie A, EPL, Bundesliga, Spanish League, SPL dan Liga Perdana Malaysia. Paling gempak pernah kami buat ialah Malaysia memenangi Piala Dunia. Salleh, D dan Hassan, Z menjadi wira.


Apabila dikenang kembali, betapa mudahnya saya terpengaruh. Sebab itulah apabila saya melalui peredaran zaman, saya melihat berbagai-bagai pengaruh dalam masyarakat kita. Sedikit masa dahulu masyarakat kita dipengaruhi skaters, ada juga pengaruh Skinhead dan geng Oi. Tak ketinggalan pengaruh HipHop. Dan tak lama dahulu kita juga pernah ada pengaruh Shuffle.
Itu adalah contoh sempit pengaruh-pengaruh anak muda di negara kita. Dan melehat segala bentok pengaruh-pengaruh ini muncol saling berganti, membuatkan saya tersenyum.

Saya tersenyum kerana saya yakin ada ruang untok anak-anak muda kita berkarya tetapi ruangnya terhad. Maseh ada ruang untok mereka berpadu-padu tetapi disekat-sekat. Maseh ada idea dan kreativiti tetapi kerap diganggu gugat. Dan hasilnya mereka cuma mampu mencedok pengaruh-pengaruh barat untok dieksperimentasi dalam budaya hidop mereka. Ia akan muncol seketika dan kemudian lenyap.

Dengan segala bentok sekatan yang wujod ini telah membataskan idea-idea gila dan kreatif anak-anak muda ini. Kerap kali saya membayangkan apakah akan terjadi jika segala bentok pemikiran anak-anak muda ini jika dibiarkan bebas. Dan apa pula akan terjadi jika segala bentok pemikiran anak-anak mida ini jika disekat terus.

Ini kerana daripada permainan Tamiya, saya telah berminat menjadi Jurutera. Ia berjaya mencungkil minat sebenar saya. Saya telah mendalami ilmu kejuruteraan. Dan saya yakin dengan karier saya sekarang.

Dari kerana permainan FIFA96 pula, saya telah aktif bermain bolasepak. Saya bercita-cita menjadi pemain kebangsaan sebagai karier kedua saya dan beraksi sangat aktif di padang pada zaman persekolahan. Dan kini akhirnya memiliki fizikal yang sehat tanpa tidak sengaja.

Olih itu, yakin dengan setiap perkara yang kita ingin lakukan akan ada pengakhiran yang positif.

Cerialah!

Search This Blog